PRU14 : 3,737 Borang Pencalonan Dijual

0
40

KAKITANGAN SPR di Pejabat Pilihan Raya Negeri Selangor, Kompleks PKNS, Shah Alam membuat semakan Buku Daftar Pemilih Pilihan Raya sebelum diedar ke pejabat pegawai setiap semua 22 Parlimen serta 56 DUN di Selangor menjelang PRU-14. – Foto Faiz Anuar

PUTRAJAYA: Sebanyak 1,220 borang pencalonan Parlimen dan 2,517 borang pencalonan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sudah terjual, setakat semalam.

Unit Komunikasi Korporat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata, jumlah borang pencalonan yang dijual itu adalah di setiap negeri selain di Ibu Pejabat SPR, di sini.

“Sabah dan Labuan mencatatkan jumlah tertinggi jualan borang pencalonan bagi Parlimen dan DUN iaitu masing-masing sebanyak 288 dan 605 borang.

“Pada masa sama, Perlis merekodkan jumlah jualan paling sedikit iaitu masing-masing lima borang pencalonan Parlimen dan 13 bagi DUN,” katanya dalam kenyataan kepada NSTP, hari ini.

Katanya, harga bagi setiap set borang pencalonan Parlimen dan DUN adalah RM20.

Jumlah kerusi Parlimen yang dipertandingkan bagi PRU-14 kekal 222 kerusi, manakala kerusi DUN pula sebanyak 587 kerusi.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa 7 April lalu selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada PRU-14.

Berikutan itu, SPR menetapkan hari pengundian pada 9 Mei menjadikan ia kali keempat hari pengundian dilangsungkan pada hari bekerja, manakala proses penamaan calon bagi PRU-14 pada 28 April ini.

Proses pengundian awal ditetapkan pada 5 Mei dan tempoh berkempen bagi PRU-14 akan berlangsung selama 11 hari bermula hari penamaan calon.-BH.

INFO

Jumlah penjualan borang pencalonan Parlimen (P) / DUN (D) sehingga 20 April 2018 mengikut negeri.

1. WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR/ PUTRAJAYA – 43 P

2. SELANGOR – 112 P, 269 D

3. SARAWAK – 125 P

4. SABAH/LABUAN – 288 P, 605 D

5. JOHOR – 101 P, 120 D

6. PAHANG – 57 P, 172 D

7. KELANTAN – 69 P, 194 D

8. TERENGGANU – 42 P, 128 D

9. KEDAH – 100 P, 241 D

10. PERAK – 86 P, 189 D

11. PULAU PINANG – 120 P, 390 D

12. MELAKA – 21 P, 93 D

13. N. SEMBILAN – 6 P, 58 D

14. PERLIS – 5 P, 13 D

15. IBU PEJABAT – 45 P, 45 D

Leave a Reply