Cikgu Disamun Ketika Mengajar

0
615

PUCHONG: Seorang guru wanita berusia 30 tahun disamun ketika sedang mengajar dalam kelas di sekolah kebangsaan di Puchong Indah di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 5.20 petang di hadapan lebih 40 muridnya, mangsa cedera di lutut akibat terjatuh ketika cuba menarik beg tangannya yang diragut penjenayah lelaki terbabit.

Beg tangan itu mengandungi wang tunai RM100, MyKad, lesen memandu, kad ATM, dua telefon bimbit serta kunci rumah dan kenderaan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari, berkata sebelum kejadian itu, guru berkenaan duduk di kerusinya selepas meminta murid menyalin satu nota tugasan.

Secara tiba-tiba muncul seorang lelaki bertopi keledar warna merah penutup muka dan masuk ke dalam kelas sambil membawa sehelai kertas serta berpura-pura menanyakan lokasi kelas lain.

Apabila guru itu hendak menunjukkan kelas yang ditanya, suspek terus menarik beg tangan mangsa yang diletak di atas meja.

“Guru itu berusaha menarik kembali beg tangannya tetapi suspek terus merentap beg yang menyebabkan dia terjatuh dan cedera lutut kanan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Mohammad Azlin berkata, siasatan awal mendapati suspek memasuki sekolah melalui pintu belakang yang terbuka dan tidak dikawal sebelum menuju ke kelas itu yang terletak di hujung blok bangunan.

Beliau tidak menolak kemungkinan faktor kedudukan kelas di hujung blok serta berhampiran pintu belakang menyebabkan suspek menjadikan guru itu sebagai sasaran.

“Ketika kejadian, ada dua pengawal keselamatan dalam kawasan sekolah dan siasatan lanjut sedang dilakukan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun.-BH.

Leave a Reply