Wang Simpanan RM30,000 Dalam Bank Lesap

0
488
PDRM logo

KUALA TERENGGANU: Seorang warga emas terkejut selepas menyedari wang simpanannya hampir RM30,000 dalam sebuah bank lesap tanpa pengetahuannya.

Warga emas berusia 77 tahun itu hanya mengetahui kehilangan itu selepas dimaklumkan seorang anak lelakinya berusia 57 tahun, kira-kira jam 9 malam Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar, berkata anak mangsa yang ketika itu berada di rumah ibu bapanya di Chabang Tiga di sini, tergerak hati mahu memeriksa buku bank milik bapanya.

“Sebaik memeriksa buku bank bapanya, anak mangsa mendapati ada beberapa rekod pengeluaran wang dibuat, sebelum bertanya kepada bapanya.

“Warga emas itu terkejut sebaik dimaklumkan anaknya mengenai perkara itu lalu meminta anaknya membawa dia ke bank keesokan harinya untuk membuat pemeriksaan lanjut.

“Pihak bank memaklumkan akaun bank mangsa merekodkan pengeluaran berjumlah hampir RM30,000 bermula pada 18 hingga 24 Januari lalu,” katanya ketika dihubungi.

Idris berkata, mangsa menafikan pernah melakukan pengeluaran wang simpanan sebanyak itu sebelum dimaklumkan individu terbabit melakukan aktiviti pengeluaran wang itu melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank berlainan.

Beliau berkata, yakin wang simpanannya sudah dicuri, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu, di sini, untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.-BH.

Leave a Reply