‘Hadiah’ Pukul Hari Lahir: Pelajar Buat Laporan Polis

0
58

RAKAMAN video tular yang dipercayai merelakan diri dipukul ketika menyambut hari lahir di sebuah sekolah di Shah Alam.

SHAH ALAM: Seorang pelajar dalam rakaman video tular yang dipercayai merelakan diri dipukul ketika menyambut hari lahir di sebuah sekolah di sini, sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib, berkata mangsa membuat laporan di Balai Polis Seksyen 9 pada jam 8.53 malam.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada Februari lalu.

“Kita sedang menyiasat kes ini mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihak sekolah juga sudah mengenal pasti kesemua pelajar terbabit dan siasatan terperinci sedang dijalankan.

NSTP semalam melaporkan seorang pelajar Tingkatan Lima sebuah sekolah di bandar raya ini dipercayai merelakan diri dibelasah sekumpulan rakannya ketika menyambut hari lahir.

Menerusi rakaman video berdurasi 29 saat yang tular dalam media sosial itu, kira-kira lapan pelajar lain menyanyikan lagu ‘happy birthday to you’ kepada seorang rakan mereka di dalam kelas sebelum bertindak memukulnya.

Selain ditendang, pelajar terbabit dipukul oleh beberapa rakannya menggunakan batang penyapu.

NSTP difahamkan, sambutan sedemikian adalah ‘tradisi’ bagi segelintir pelajar di sekolah itu dan kejadian berlaku pada Februari lalu.-BH.

Leave a Reply