Maut Dilanggar, Bukan Terbabas

0
161

KUALA LUMPUR: Polis meminta individu terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan seorang anggota polis Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, pagi tadi, untuk tampil membuat laporan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana cuai dan menyebabkan kemalangan maut.

Dalam kejadian 8.30 pagi tadi, mangsa yang menunggang motosikal BMW GS1200 dipercayai dilanggar oleh sebuah kenderaan menyebabkannya tercampak ke pembahagi konkrit di tengah jalan berkenaan.

Mangsa, Koperal Wan Marecan Wan Mohammad, 51, anggota Cawangan Khas IPD Petaling Jaya meninggal dunia akibat kecederaan parah di badan. Mangsa dalam perjalanan menuju arah Selayang dan menunggang secara bersendirian.

“Siasatan awal pada mulanya mangsa dikatakan terbabas, namun pada petang ini kita dapat maklumat bahawa mangsa dilanggar sebuah kenderaan lain.

“Jadi, kita minta individu terbabit kemalangan untuk membuat laporan polis dalam tempoh 24 jam. Jika gagal, adalah menjadi satu kesalahan bagi individu itu,” katanya ketika dihubungi, petang tadi.

Zulkefly berkata, pihaknya juga memohon supaya saksi yang melihat kemalangan itu untuk membuat laporan polis bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan lanjut.

“Kes ini kita akan siasat dengan terperinci bagi mencari siapa individu yang bersalah serta cuai hingga menyebabkan kemalangan maut,” katanya.-BH.

Leave a Reply