Suami Maut Tercampak

0
171

MARAN: Seorang lelaki maut selepas tercampak daripada kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina dinaikinya di Kilometer 145, Lebuhraya Pantai Timur (LPT), Maran, kira-kira 1 tengah hari tadi.

Difahamkan, dalam kemalangan itu, mangsa yang berusia 51 tahun duduk di bahagian hadapan sebelah penumpang, tercampak beberapa meter dari lokasi kejadian selepas MPV dipandu isterinya hilang kawalan dan terbalik.

Mangsa, Sarjan Mustapa Abd Aziz, yang bertugas di Balai Polis Trafik Kapar, Klang, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isterinya, Juria Japri, 48, yang bertugas sebagai jururawat, cedera dan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman, berkata siasatan awal mendapati pasangan suami isteri itu dalam perjalanan ke Kuantan dari Kuala Lumpur sebelum MPV dinaiki mereka terbabas.

Beliau berkata, pasangan suami isteri itu dikatakan dalam perjalanan ke Kolej Komuniti di Gambang untuk mengambil anak.

“Siasatan mendapati, kejadian berlaku di laluan berselekoh dan jalan raya basah disebabkan hujan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-BH.

Leave a Reply