Zaid Disiasat Ikut Akta Hasutan – KPN

0
38

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim, akan disiasat mengikut Akta Hasutan dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata polis akan menyiasat kenyataan yang dikeluarkan pemimpin terbabit susulan laporan yang diterima.

“Saya dimaklumkan ada laporan dibuat berkaitan perkara itu. Sudah pasti pihak polis akan jalankan siasatan.

“Untuk kes ini, kita akan menjalankan siasatan mengikut Akta Hasutan atau Akta SKMM,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Tabung Prihatin Pengaman anjuran Yayasan Pengaman Malaysia di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, petang tadi.

Kelmarin, Zaid menerusi akaun Twitter miliknya mempertikaikan titah Sultan Sharafuddin yang antara lain menegur bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, berhubung kenyataan menghina Bugis.

Zaid dipetik sebagai berkata: “Sultan Selangor seharusnya lebih berhati-hati dengan kata-katanya. Tidak ada sesiapa yang kebal apabila negara terbakar.”

Dalam perkembangan berasingan, Fuzi berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu proses siasatan pihak berkuasa Hong Kong selesai, sebelum memohon ekstradisi terhadap enam rakyat Malaysia yang ditahan di wilayah itu kerana disyaki menyeludup ketamin bernilai RM2 juta pada Rabu lalu.

“Tangkapan itu dibuat oleh kastam yang sudah menyerahkan kes berkenaan kepada polis di sana, bagi menjalankan siasatan. Kita tidak mahu campur tangan dalam siasatan di sana, biarlah polis Hong Kong menjalankan siasatan mereka.

“Kita sudah memohon untuk mendapatkan perincian kes terbabit untuk memudahkan kita merangka tindakan selanjutnya, namun setakat ini belum menerima sebarang maklum balas,” katanya.

Fuzi berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Hong Kong untuk mendapatkan perkembangan berhubung siasatan kes berkenaan.

“Proses untuk ekstradisi semua suspek mengambil masa yang agak lama, kalau siasatan polis Hong Kong selesai, kita mungkin akan ambil alih dan siasatan mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas dan undang-undang yang kita ada,” katanya.

Rabu lalu, enam rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan pelancong ditahan kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong kerana cuba membawa masuk ketamin bernilai hampir HK$4 juta (RM2 juta).

Media tempatan melaporkan, enam lelaki berusia antara 18 hingga 28 tahun itu ditahan untuk pemeriksaan di kaunter kastam sebaik tiba di Hong Kong dari Kuala Lumpur.

Lebih lapan kilogram dadah disyaki ketamin ditemui dilekat pada badan empat daripada mereka.

Siasatan awal menunjukkan dadah itu adalah untuk pasaran Hong Kong.-BH.

Leave a Reply