Pemandu Bas Didakwa Pandu Melulu Sebabkan Kematian

0
93

Pemandu bas ekspres, N Shasi Kumar 41, didakwa atas tuduhan memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian seorang penumpang dalam kemalangan di Kilometer 294.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Gopeng semalam di Mahkamah Majistret Kampar. – Foto Abdullah Yusof

KAMPAR: Seorang pemandu bas ekspres didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian, pagi semalam.

N Shasi Kumar, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu dan minta dibicarakan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 294.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini, pada jam 5.45 pagi, hingga mengakibatkan kematian terhadap Chan Kwai Fah, 43.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan didenda maksimum RM20,000.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Onn Kork Chern di hadapan Majistret Nur Faizah Muhamad Saleh manakala tertuduh diwakili peguam, Nurafiqah Abd Aziz dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah supaya mengenakan jaminan sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh kerana kesalahan yang dilakukannya adalah serius.

Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon mahkamah supaya memberikan jaminan yang rendah kerana tertuduh menyara empat anak manakala isterinya pula tidak bekerja.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin sehingga kes disebut semula 28 Disember ini.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menyerahkan lesen memandunya kepada mahkamah sehingga perbicaraan kes berkenaan selesai.

BH Online semalam melaporkan, seorang wanita berusia 43 tahun maut, manakala 13 lagi cedera dalam kemalangan antara bas dan dua lori di Kilometer 294.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, pagi semalam.

Dalam nahas jam 5.45 pagi itu, Kwai Fah, yang duduk di tempat duduk penumpang di tingkat atas bas, meninggal dunia ketika tiba di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan.-BH.

Leave a Reply