Rancang Serangan Pesta Arak: Pelajar Tingkatan Enam Tukar Pengakuan

0
97
KOTA BHARU 05 NOVEMBER 2017. Anggota polis dari Cawangan Khas (E8), Pencegahan Keganasan (Counter Terrorism) Bukit Aman membawa tiga suspek, seorang kontraktor, Ahmad Azmi Ahmad Rosli, 24 (kiri); bekas tentera, Mahadi Ibrahim, 34 (tengah) dan termasuk seorang remaja Muhamad Hafizi Mat Jusoh, 19, (kanan) untuk didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan disyaki terbabit dalam rancangan melancarkan serangan ke atas Beer Festival dan juga rumah ibadat bukan Islam bulan lepas. NSTP/ZAMAN HURI ISA

KOTA BHARU: Seorang pelajar Tingkatan Enam yang sebelum ini mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki dua bom buatan sendiri dipercayai untuk serangan di pesta arak, menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini.

Tertuduh, Mohd Hafizi Mat Jusoh, 19, menukar pengakuan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut kertas pertuduhan, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Aman itu didakwa memiliki dua butir bom ‘improvised explosive device (IED)’ di rumah di Kampung Merkang, Pasir Puteh, 6.05 petang, 10 Oktober 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara hingga 14 tahun dan sebat minimum enam kali.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 11 Januari depan untuk sebutan semula kes dan tertuduh diwakili peguam Arif Azami Hussein.

Tertuduh dipercayai terbabit dengan aktiviti kumpulan pengganas sejak berusia 12 tahun, selain turut berdepan empat pertuduhan lain iaitu terbabit dengan aktiviti pengganas Daesh.

Bagi empat pertuduhan itu, remaja berkenaan didakwa memiliki gambar, video dan dokumen; memaparkan bahan berkaitan kumpulan pengganas; memberi latihan menerusi WhatsApp dan hadir di tempat latihan pengganas Daesh.

Kesalahan didakwa masing-masing mengikut Seksyen Seksyen 130JB(1)(a), Seksyen 130JB(1)(b), 130F(a) dan Seksyen 130FB(1)(a) Kanun Keseksaan.

Sementara itu, dua lagi rakan tertuduh, Ahmad Azmi Ahmad Rosli, 24, dan Mahadi Ibrahim, 34, yang masing-masing berdepan tiga dan dua pertuduhan berasingan berkait kumpulan pengganas Daesh turut dihadapkan ke mahkamah sama.

Bagaimanapun tiada keterangan direkodkan dan kedua-duanya tidak diwakili peguam.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor.

Mahkamah menetapkan 11 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan permohonan pemindahan bagi pertuduhan kumpulan Daesh ke Mahkamah Putrajaya untuk dibicarakan serentak.-BH.

Leave a Reply