46 Pegawai Dan Anggota Polis Kontinjen Perak Kena Tindakan

0
112

IPOH: Seramai 46 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak terbabit dalam pelbagai kes jenayah dan salah laku dalam sembilan bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Hasnan Hassan, berkata penahanan itu menunjukkan pucuk pimpinan tertinggi tidak bertolak ansur dengan salah laku dalam kalangan pegawai dan anggotanya.

Bagaimanapun, katanya, bilangan itu menunjukkan penurunan berbanding 61 pegawai dan anggota ditahan atas pelbagai kes termasuk jenayah, penyalahgunaan dadah dan rasuah dalam tempoh sama tahun lalu.

“Jumlah kedua-dua tahun menunjukkan penurunan 15 kes atau 24.6 peratus. Kita sama sekali tidak berkompromi terhadap mana-mana anggota terbabit bukan sahaja dalam kes jenayah malah salah laku.

“Kalau perlu dakwa, kita akan dakwa. Dan, biasanya apabila didakwa, pegawai dan anggota terbabit kita tahan kerja (gantung tugas) sehingga mahkamah membuat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini hari ini.

Sementara itu, Hasnan berkata, seramai 18 pegawai dan anggota polis menolak rasuah membabitkan lima kes termasuk kesalahan trafik dan jenayah.

“Nilai tertinggi tawaran rasuah ialah RM500 dan kebanyakan kes diterima daripada trafik, iaitu membabitkan anggota yang bertugas di lapangan sama ada MPV (Unit Peronda Polis) atau Unit Rondaan Bermotosikal,” katanya.

Terdahulu pada majlis itu dua anggota kontinjen berkenaan, iaitu Lans Koperal Mohd Farid Ahmad dan Konstabel Muhammad Izzad Ezmiel Roshaizad, masing-masing bertugas di Balai Polis Pulau Pangkor, menerima sijil penghargaan daripada Hasnan.

Katanya, kedua-dua anggota itu menolak tawaran rasuah RM500 daripada seorang lelaki warga negara asing yang tidak memakai topi keledar dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.-BH.

Leave a Reply