Siti Aisyah ‘Kepanasan’ Selepas Serang Kim Chol

0
58

TERTUDUH kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Nam, warga Indonesia, Siti Aisyah, 25, dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas menghadiri kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Nam. – Foto Roslin Mat Tahir.

SHAH ALAM: Wanita warga Indonesia Siti Aisyah kelihatan ‘kepanasan’ dan merenjis-renjiskan tangan serta menunjukkan tanda tidak selesa selepas melakukan ‘serangan’ terhadap warga Korea Utara Kim Chol.

Berdasarkan kepada rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV), menunjukkan wanita itu yang juga tertuduh pertama dalam kes bunuh Kim Chol, cuba mengelakkan tangannya daripada menyentuh pemegang eskalator ketika bergegas menuruni tangga dari Aras 3 Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2) ke Aras 2 menuju ke tandas.

Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang/KLIA, Asisten Superintendan (ASP) Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz berkata, rakaman CCTV pada jam 9.11 pagi, menunjukkan Siti Aisyah berlari keluar daripada tandas menuju ke laluan belakang Restoran Bibik Heritage.

Wan Azirul Nizam berkata, Siti Aisyah yang memakai baju T tanpa lengan dan seluar jeans koyak di lutut, kemudian berlari melalui pintu masuk Zon Hijau untuk ke eskalator kembali ke Aras 3.

Saksi itu berkata, bagi tertuduh kedua warga Vietnam Doan Thi Huong pula kelihatan tergesa-gesa beredar dari tempat kejadian, manakala tangan dia menadah menunjukkan tanda tidak selesa.

“Pergerakan dia laju, ada ketika bila tangannya diturunkan seolah-olah mengelakkan lengan baju dan pakaiannya daripada terkena tapak tangan. Wajahnya pula cemas dan menunjukkan seolah-olah mahu beredar dari situ dengan segera dan menuju ke tandas.

“Daripada pemerhatian saya, Doan ini (Thi Huong) sudah sedia maklum apa yang perlu dilakukan walaupun dia berada dalam keadaan cemas,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin pada sesi pemeriksaan utama.

“Seminit kemudian Doan keluar dari tandas dan saya dapati tangannya kelihatan seperti biasa dibandingkan dengan keadaan sebelumnya, kali ini dia lebih relaks dan tangan ke arah bawah seperti biasa tetapi pergerakan masih lagi dengan cepat,” katanya lagi.

Wan Azirul Nizam berkata, Thi Huong yang kelihatan lebih santai sambil berjalan menggunakan telefon bimbit, terus menuju ke Hab Pengangkutan dan keluar menunggu teksi di hadapan pintu.

Saksi itu berkata, Siti Aisyah pula kemudian tiba di tempat sama dalam keadaan cemas dan tergesa-gesa, bagaimanapun hanya wanita Indonesia itu yang menaiki teksi.

Sementara itu, dalam rakaman terdahulu sebelum kejadian, Wan Azirul Nizam berkata berdasarkan kepada CCTV kelihatan Siti Aisyah masuk ke dalam Restoran Bibik Heritage dan bertemu seorang lelaki yang memakai topi hitam dan cermin mata.

“Saya lihat mereka duduk di meja sama dan berbual-bual, kemudian lelaki itu serahkan sekeping tiket teksi kepada Siti Aisyah dalam kejadian yang berlaku pada 8.14 pagi.

“Dalam rakaman itu, mereka berbual-bual dalam keadaan mesra sebelum lelaki itu menyerahkan tiket,” katanya.

Saksi itu berkata, rakaman pada jam 6.59 pagi pula menunjukkan Thi Huong membeli tiket teksi di salah satu kaunter penjualan tiket di Hab Pengangkutan.-BH.

Leave a Reply