Bukit Aman Siasat Dakwaan Doktor Warga Asing Biaya Serangan Movida

0
83

KUALA LUMPUR: Bukit Aman akan menyiasat dakwaan bahawa seorang doktor warga Filipina terlibat membiayai serangan bom di kelab malam Movida tahun lalu, kata Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Ketua Polis Negara berkata, Bukit Aman akan berhubung dengan rakan sejawatannya di Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai dakwaan itu.

Menurut sebuah laporan berdasarkan pemfailan mahkamah, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menyimpulkan bahawa Dr Russel Salic menyediakan dana untuk serangan ke atas kelab malam tersebut yang mencederakan lapan mangsa.

Salic ditahan di Filipina pada April 2017 dan AS telah memohon ekstradisinya, kata Jabatan Kehakiman AS.

“Kita akan menyemak dengan agensi penguatkuasaan undang-undang di AS untuk mendapatkan maklumat lanjut. Kita mahu mengetahui bagaimana mereka mempunyai kesimpulan sedemikian,” kata Mohamad Fuzi ketika dihubungi The Star.

Beliau berkata pemeriksaan menyeluruh mengenai hubungan antara doktor dan suspek serangan tersebut amat diperlukan.

“Adalah sukar untuk kita menyoal-siasatnya kerana dia ditahan agensi penguatkuasaan undang-undang antarabangsa,” katanya.

Media Filipina melaporkan Salic menyalurkan kewangan ke Malaysia, Australia, Syria, Lubnan, Palestin dan Bosnia antara Februari 2015 dan Jun 2016.

Difahamkan Salic telah menghantar wang kepada seorang individu dengan nama Jasanizam Rosni di Johor pada 24 Jun 2016, bebeapa hari sebelum serangan dilancarkan ke atas kelab malam tersebut.

Pada April, Jasanizam, 34, mengakui terlibat dalam melakukan persediaan untuk menyerang sebuah kuil dan kelab malam di Johor Bahru antara 27 Jun dan 2 Julai tahun lalu.

Dia dijatuhi hukuman penjara tiga tahun.-MS.

Leave a Reply