DAP Setuju Semua Syarat ROS

0
74

GUAN Eng (kiri) bersama Ahli Parlimen Seremban, Loke Siew Fook dan Teresa Kok Suh Sim (kiri) di sidang media Parti Demokratik (DAP) berkaitan pemilhan semual jawatan kuasa tertinggi pusat DAP. – Foto Zunnur Al Shafiq

KUALA LUMPUR: DAP akan mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) pada 12 November ini di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, bagi memilih 20 ahli CEC.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata parti turut bersetuju dan akan mematuhi semua 10 syarat ditetapkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) seperti yang dimaklum menerusi surat kepada parti itu bertarikh 21 September lalu.

Katanya, DAP juga akan melantik firma antarabangsa, Grant Thornton, bagi mengendalikan keseluruhan proses pemilihan semula itu dan ia dipersetujui ROS.

“Kita tidak ada apa-apa untuk disembunyikan dan DAP tidak gentar mengadakan pemilihan semula seperti dikehendaki ROS,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Guan Eng berkata, DAP juga bersetuju pemilihan semula CEC itu menggunakan senarai perwakilan pada 2012 iaitu 2,576 perwakilan seperti disyaratkan ROS.

Katanya, DAP akan memaklumkan bilangan dan senarai calon bertanding pada pemilihan semula CEC ini dalam masa terdekat iaitu mengikut senarai calon 2012.

Sementara itu, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke, berkata parti itu menjangkakan akan ada perwakilan dalam senarai 2012 tidak akan menerima notis pemilihan semula.

Beliau berkata, ia termasuk ahli parti yang secara sukarela keluar parti dan yang meninggal dunia termasuk mendiang Karpal Singh.

DAP sebelum ini mencadangkan kepada ROS untuk mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) pada 10 September lalu.

Bagaimanapun, ia gagal diadakan seperti dirancang kerana ROS lewat memberi maklum balas berhubung tarikh dicadangkan itu.

Minggu lalu, ahli akar umbi DAP mendesak kepemimpinan parti itu mengadakan segera pemilihan semula CEC.

Pada 7 Julai lalu, Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohammad Razin Abdullah, dalam satu kenyataan mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula CEC kerana mendapati pelantikan anggota CEC dan pemegang jawatan utama melalui pemilihan semula pada 29 September 2013, tidak sah dari segi undang-undang.

Menurut ROS, pemilihan semula diadakan itu sepatutnya berdasarkan kepada senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC DAP bertarikh 15 Disember 2012, iaitu membabitkan 2,576 perwakilan daripada 865 cawangan.-BH.

Leave a Reply