Ahli DAP Desak Adakan Segera CEC

0
38

SEREMBAN: Akar umbi DAP mendesak pemimpin parti itu mengadakan segera proses pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC).

Setiausaha DAP Cawangan Taman Bukit Mas di sini, S Vijayan, berkata jika pemimpin masih belum bersedia mengadakan semula CEC, mereka perlu memberi alasan yang kukuh.

“Kami hendak tahu mengapa hingga kini pemimpin DAP masih belum beritahu kami tarikh dan lokasi akan diadakan proses pemilihan semula CEC.

“Mengapa masih bertangguh dan tidak mengikut arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang meminta supaya diadakan segera CEC,” katanya di sini, hari ini.

Vijayan berkata, pemilihan itu perlu diadakan segera bagi membolehkan logo parti digunakan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Katanya, pemilihan semula CEC bertujuan menyelamatkan parti, tetapi apa yang dilihat sekarang adalah pemimpin yang tidak telus dan cekap.

Selain itu katanya, dia mahu pemimpin DAP memaklumkan dengan lebih awal kepada akar umbi, siapa antara calon CEC kali ini.

“Kami mahu calon CEC yang bagus untuk memimpin dan menjaga nama baik parti. Tetapi jika pemimpin terus mengambil tindakan berdiam, sudah pasti parti akan musnah,” katanya.-BH.

Leave a Reply