Mahu Undi Saya? Hapuskan Polisi Pro Bumiputera – Penolong Pengarang Malaymail Online

0
186

PETALING JAYA: Polisi-polisi yang membantu golongan Bumiputera harus dihapuskan dan agama perlu diasingkan daripada pembuatan polisi adalah antara syarat-syarat yang dikemukakan oleh Boo Su-Lyn untuk meraih undinya pada pilihanraya kelak. Penolong Editor Malay Mail Online tersebut meluahkanrasa kecewanya terhadap kedua-dua pihak kerajaan mahupun pihak pembangkang kerana menurutnya hanya mementingkan umat Melayu-Islam.

Beliau berkata, “Malangnya, kedua-dua PH dan BN nampak gayanya tidak berminat untuk mempromosikan polisi-polisi libertarian bagi membolehkan golongan pertengahan untuk hidup lebih selesa. Apa yang mereka peduli hanyalah undi daripada golongan Melayu-Muslim pedalaman.”

“BN nampaknya sudah tidak berharap kepada pengundi-pengundi kelas pertengahan seperti saya dengan polisi-polisi fasis mereka yang semakin meningkat sejak dekad yang lalu, manakala PH telah pun mensia-siakan undi saya,” luahnya lagi.

Tulang belakang Himpunan Anti RUU-355 itu juga menyalahkan polisi kerajaan yang mahu membantu meningkatkan pemilikan rumah oleh golongan Bumiputera yang sememangnya jauh lebih rendah berbanding kaum-kaum lain sebagai mengganggu harga pasaran rumah.

Beliau berkata, “Jadi berkenaan Pilihanraya Umum ke 14, saya fikir saya mampu untuk bertindak sebagai pengundi yang mementingkan diri sendiri dan menyuruh kedua-dua belah pihak untuk berambus sekiranya mereka tidak beri apa yang saya mahukan – hapuskan polisi-polisi yang membantu golongan Bumiputera (terutamanya dalam sektor hartanah kerana mengganggu pasaran dan menjejaskan harga rumah), ketepikan agama daripada pembuatan polisi…”

“… pastikan kenaikan pendapatan, rendahkan cukai pendapatan individu (GST boleh dikekalkan agar beban pencukaian disebarkan kepada seluruh populasi), tiada sebarang pemotongan air, dan jalan-jalan yang selamat seperti di Melbourne atau Singapura dimana saya boleh bebas berjalan tanpa gangguan seksual,” sambungnya lagi.

Penulis akhbar online yang dimiliki oleh Redberry Group, anak syarikat Ancom Bhd itu juga memberi kata dua kepada pemimpin-pemimpin politik supaya mengambil berat luahan hatinya ini, ataupun beliau bakal memboikot untuk tidak mengundi mana-mana parti politik pada pilihan raya umum akan datang.

“Sekiranya kedua-dua pakatan bertegas untuk mengekalkan struktur politik perkauman dan polisi-polisi kerajaan yang rasis, maka mereka boleh melupakan undi saya,” gertak beliau.

Sebelum ini, beliau pernah mendesak supaya jabatan-jabatan agama dan sistem perundangan Syariah di Malaysia dihapuskan disamping menggesa agar Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang menghalang orang bukan Islam daripada menyebarkan agama mereka kepada orang Islam dihapuskan.

Menara.my

Leave a Reply