Buat Permintaan Pemindahan Ke Barcelona, Kelab Putuskan Nasib Coutinho – Klopp

0
127

WATFORD: Jurgen Klopp menegaskan masa depan Philippe Coutinho di Liverpool akan hanya diputuskan oleh pemilik kelab, tatkala Barcelona membuat tawaran bagi mendapatkan bintang Brazil itu.

Coutinho dilihat cenderung menyertai Barcelona dan penyerang The Reds itu membuat permintaan pemindahan, 24 jam sebelum Liverpool membuka tirai kempen Liga Perdana Inggeris mereka dengan keputusan 3-3 di sini, malam tadi.

Pemain berusia 25 tahun itu, yang tidak mengikuti kunjungan ke Vicarage Road kerana masalah belakang, adalah sasaran utama Barcelona bagi menggantikan Neymar selepas bintang Brazil itu mencatat rekod pemindahan termahal dunia ke Paris Saint-Germain (PSG).

Tawaran STG90 juta (RM500 juta) Barca bagi mendapatkan Coutinho ditolak minggu ini sekali gus mendorong pemain itu membuat keputusan untuk menuntut pemindahan.

Namun pemilik Liverpool yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Kumpulan Sukan Fenway (FSG) pada Jumaat lalu, menegaskan yang Countinho tidak dibenarkan meninggalkan Anfield dengan sebarang tawaran harga.

Disoal mengenai situasi berkenaan selepas aksi bersama Watford, pengurus The Reds tetap menyatakan yang masa depan Coutinho adalah di luar bidang kuasanya.

“Selaku pengurus kelab bola sepak, saya mempunyai ketua, dan sekiranya ketua membuat keputusan; sebagai contoh, kami menjual seorang pemain ataupun kami tidak menjualnya, maka saya perlu menerimanya. Sekiranya mereka tidak menjualnya, maka saya tidak mempunyai kaitan lagi,” kata Klopp.

“Saya bertanggungjawab untuk semua pemain, bukan hanya seorang, dua ataupun tiga. Saya tidak boleh berkata apa-apa mengenainya. Satu-satunya perkara yang boleh saya katakan, saya bekerja bersama pemain yang saya miliki, itu yang sering saya lakukan.

“Jadi adakah ia mengubah sesuatu kepada saya? Saya tidak membuat sebarang keputusan.”

Ditanya sama ada permintaan pemindahan Coutinho mungkin bakal mengubah pendirian kelab, Klopp berkata: “Kamu harus bertanya kepada kelab. Saya tidak melihat kelab hari ini – maksud saya mereka yang menguruskannya.

“Kamu perlu bertanya kepada mereka. Tetapi saya tidak fikir begitu kerana kesemuanya sudah jelas dengan pendirian kelab, FSG sebelum ini.”

Kontroversi Coutinho menambah kekecewaan Klopp selepas Liverpool melepaskan beberapa peluang berharga untuk meraih kemenangan pada hari pembukaan apabila melepaskan gol penyamaan lawan pada masa kecederaan.

Stefano Okaka membenarkan Watford mendahului pada minit kelapan dan Abdoulaye Doucoure meletakkan pasukan kembali mendahului selepas Sadio Mane menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-27.

Jaringan penalti Roberto Firmino dan jaringan sulung Mohamed Salah meletakkan Liverpool mendahului pada awal babak kedua namun Miguel Britos menjamin satu mata buat Watford pada minit ketiga masa kecederaan.

Klopp jelas gembira dengan persembahan Salah di babak kedua selepas pemain sayap Mesir yang memecah rekod pembelian kelab STG34 juta (RM188 juta) dari Roma.

“Dia terbabit dalam menjelmakan penalti dan menjaringkan satu gol,” kata Klopp.

“Pada awalnya, semua boleh melihat yang dia sedikit bergelut ketika berdepan Jose Holebas, seorang pemain yang kuat, dia terlalu banyak berada di bahagian sayap, sesuatu seperti ini.

“Kami bercakap mengenainya di babak pertama dan di babak kedua, dia lebih baik. Kami perlu bertahan dengan bahagian belakang dengan kelajuan, bukan pada setiap masa tetapi sekiranya kami boleh melakukannya di kawasan lain, maka ia lebih mudah buat kami bermain. Jadi, iya, saya berpuashati dengan persembahannya.” – AFP

Leave a Reply