Ikan Emas Hasilkan Alkohol Pada Musim Sejuk

0
110

KAJIAN terkini saintis mendapati ikan emas menghasilkan alkohol untuk menyelamatkan diri ketika terperangkap di bawah permukaan ais di tasik dan kolam yang beku.

Tidak seperti haiwan vertebrata lain yang akan mati dalam beberapa minit tanpa oksigen, ikan emas dan ikan kap crucian mampu bertahan berbulan lamanya dalam keadaan air yang tiada oksigen.

Secara biologinya, ikan tersebut menukarkan asid laktik yang dihasilkan secara anaerobik ke dalam etanol yang meresap di sekitar bahagian insang seterusnya ke dalam air sekitarnya.

Para penyelidik dari Universiti Oslo dan Liverpool telah menemui mekanisme molekul luar biasa di sebalik keupayaan unik itu.

Ahli fisiologi evolusi di Universiti Liverpool, Dr Michael Berenbrink berkata, kepekatan alkohol darah dalam ikan emas tersebut boleh melebihi had alkohol yang dibenarkan untuk memandu kereta sewaktu musim sejuk.

Ikan kap crucian banyak dijumpai di bahagian utara benua Eropah. – Gambar hiasan

“Sepanjang masa ikan-ikan ini berada di dalam air tanpa oksigen di dalam kawasan air yang dilitupi ais, kepekatan alkohol darah dalam ikan kap crucian boleh melebihi daripada 50mg setiap 100 mililiter,” katanya.

Penulis utama Dr Cathrine Elisabeth Fagernes dari Universiti Oslo pula berkata: “Pengeluaran etanol membolehkan ikan kap crucian sebagai satu-satunya spesies ikan yang hidup dan mengeksploitasi persekitaran yang kritikal ini.”

“Tidak hairanlah jika ikan emas yang juga mempunyai pertalian dengan ikan kap crucian itu boleh dikatakan sebagai salah satu haiwan peliharaan yang paling berdaya tahan di bawah penjagaan manusia.” – Sky News

Leave a Reply