Kanak-kanak 7 tahun mangsa terbaharu rabies

0
135

KUCHING 9 Ogos – Sarawak mencatatkan satu lagi kes jangkitan rabies apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dari Kampung Kuala, Gedong di Samarahan, disahkan positif virus itu semalam.


Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa keenam mempunyai sejarah digigit anjing pada 17 Jun lalu. 


Katanya, mangsa telah menerima tiga dos suntikan vaksin anti-rabies di Hospital Serian pada 21 Julai, 24 Julai dan 28 Julai, manakala dos keempat dijadualkan pada 4 Ogos lalu.



“Bagaimanapun pada 1 Ogos lalu, kanak-kanak ini mula mengalami demam, batuk dan muntah lalu dimasukkan ke wad Hospital Serian.


“Keadaan dia merosot dengan mengalami perubahan sikap dan halusinasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Umum Sarawak di sini pada 3 Ogos lalu dan keputusan sampel terhadapnya yang diperoleh semalam, mengesahkan dia positif virus rabies.


Katanya, kanak-kanak terbabit terpaksa diberi alatan sokongan pernafasan dan berada dalam keadaan kritikal ketika ini. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply