Halal Makan Buaya?

0
190

Ulama berbeza pendapat berkenaan hukum makan buaya. Ada yang berpendapat halal dan tidak kurang juga yang berpendapat hukumnya adalah haram.

Ulama yang berpendapat haram makan buaya tidak lari dari menyatakan sebabnya adalah kerana buaya merupakan haiwan buas yang bertaring dan ia juga merupakan haiwan dua alam iaitu yang hidup di air juga di darat.

Haram Kerana Buaya Buas Dan Bertaring?

Nabi sallallahu alaihi wa sallam bersabda,

كُلُّ ذِي نَابٍ مِنْ السِّبَاعِ فَأَكْلُهُ حَرَامٌ

“Setiap binatang buas yang bertaring, maka memakannya adalah haram.” [HR. Muslim no. 1933]

Namun qiyas (analogi) buaya dengan dalil di atas kurang tepat. Syaikh Soleh Al Fauzan hafizahullah mengatakan,

“Adapun para ulama yang berpendapat dengan mengqiyaskan haiwan air dengan haiwan darat yang diharamkan, maka ini tidak tepat. Qiyas seperti ini bertentangan dengan nas (dalil tegas) iaitu firman Allah taala di surah Al Maidah ayat 96,

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ

“Dihalalkan bagimu binatang buruan laut dan makanan dari laut.”” [Al Ath’imah, hal.88]

Hadis haram makan haiwan yang bertaring adalah khusus untuk haiwan di darat. Haiwan air walaupun yang bertaring seperti ikan jerung tidaklah haram dan boleh dimakan.

Sebagaimana yang difatwakan oleh Suruhanjaya Fatwa Arab Saudi (Fatwa Al Lajnah Ad Daimah lil Buhuts Al ‘Ilmiyyah wal Ifta’) bernombor no. 15834, 22/320 yang ditandatangani oleh Syaikh Abdul Aziz bin Abdillah bin Baz selaku ketua; Syaikh Bakr Abu Zaid, Syaikh Abdul Aziz Alu Syaikh, Syaikh Soleh Al Fauzan, Syaikh Abdullah Al Ghodyan selaku anggota dengan membawa dalil surah Al Maidah ayat 96 seperti di atas dan hadis Nabi sallallahu alaihi wa sallam tentang air laut iaitu,

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ الْحِلُّ مَيْتَتُهُ

“Air laut itu suci dan bangkainya pun halal.” [HR. At Tirmidzi no. 69, An Nasai no. 332, Abu Daud no. 83, Ibnu Majah no. 386, Ahmad 2/361, Malik 43, Ad Darimi 729]

Jadi, hujah yang menyatakan buaya haram dimakan kerana bertaring adalah tidak tepat.

Begitu juga hujah yang digunakan bahawa sesuatu haiwan itu buas, juga kurang tepat, kerana jika haiwan yang bertaring itu buas jika dipelihara sehingga menjadi jinak, adakah ianya halal untuk dimakan?

Sebagai contoh singa dan harimau yang kini ramai orang di Timur Tengah yang menjadikannya sebagai haiwan perliharaan dan ternyata haiwan itu menjadi jinak. Ia tetap haram untuk dimakan.

Haram Kerana Buaya Hidup Di Dua Alam ?

Pendapat ini juga diperselisihi oleh para ulama. Secara ringkasnya, dibawakan pendapat 4 imam mazhab tentang perkara ini seperti berikut:

▪ Ulama bermazhab Malik: Membolehkan secara mutlak, baik itu katak, kura-kura (penyu), dan ketam.

▪ Ulama bermazhab Syafie: Membolehkan secara mutlak kecuali katak. Burung akuatik dihalalkan jika disembelih dengan cara yang syarie.

▪ Ulama bermazhab Hambali: Haiwan yang hidup di dua alam tidak halal kecuali dengan jalan disembelih. Namun untuk ketam ia dibolehkan kerana termasuk haiwan yang tidak memiliki darah.

▪ Ulama bermazhab Hanafi: Haiwan yang hidup di dua alam tidak halal sama sekali kerana haiwan air yang halal hanyalah ikan. [Al Ath’imah, hal. 91-92]

Namun pendapat-pendapat yang mengharamkan tidak disertai dengan dalil dari Al-Quran dan hadis yang sahih lagi tegas yang menjelaskan tentang haramnya haiwan yang hidup di dua alam (laut dan darat) kecuali katak. Dengan demikian binatang yang hidup di dua alam hukumnya kembali kepada kaedah: “Hukum asal segala sesuatu itu halal kecuali ada dalil yang mengharamkannya”.

Fatwa Ulama Yang Menghalalkan

1. Fatwa Al Lajnah Ad Daimah (Suruhanjaya Fatwa Arab Saudi)

“…sebahagian ulama menyatakan boleh dimakan sebagaimana ikan kerana keumuman ayat dan hadis yang telah disebutkan di atas. Sebahagian lainnya mengatakan tidak halal. Namun yang rajih (pendapat terkuat) adalah pendapat pertama (iaitu yang menghalalkan buaya)…”

Yang menandatangani fatwa ini: Syaikh Abdul Aziz bin Abdillah bin Baz selaku ketua; Syaikh Abdur Rozaq Afifi selaku wakil ketua; Syaikh Abdullah bin Qu’ud selaku ahli suruhanjaya fatwa. [Fatwa Al Lajnah Ad Daimah lil Buhuts Al ‘Ilmiyyah wal Ifta’ no. 5394, 22/320].

2. Fatwa Syaikh Muhammad bin Soleh Al Utsaimin

Syaikh mengatakan, “Seluruh haiwan air itu halal bahkan untuk orang dalam ihram. Orang dalam ihram boleh baginya berburu di laut. Hal ini berdasarkan firman Allah taala,

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ وَحُرِّمَ عَلَيْكُمْ صَيْدُ الْبَرِّ مَا دُمْتُمْ حُرُمًا

“Dihalalkan bagimu binatang buruan laut (yang ditemukan dalam keadaan hidup) dan yang ditemukan dalam keadaan bangkai sebagai makanan yang lazat bagimu, dan bagi orang-orang yang dalam perjalanan; dan diharamkan atasmu (menangkap) binatang buruan darat, selama kamu dalam ihram.” [QS. Al Maidah:96]

Yang dimaksudkan “shoidul bahr” adalah haiwan air yang ditangkap dalam keadaan hidup. Manakala “tho’amuhu” adalah haiwan air yang ditemui dalam keadaan sudah mati.

Ayat tersebut menerangkan, “Dihalalkan bagimu binatang buruan laut (yang ditemukan dalam keadaan hidup)”. Secara zahirnya, tidak ada pengecualian dalam ayat tersebut. Kerana “shoid” dalam ayat tersebut adalah mufrod mudhof.

Berdasarkan kaedah mufrod mudhof menunjukkan umum (iaitu seluruh tangkapan haiwan air adalah halal, -pen), sebagai contoh dalam firman Allah taala,

وَإِنْ تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا

“Dan jika kamu menghitung “nikmat” Allah, tidaklah dapat kamu menghinggakannya” [QS. Ibrahim:34]. Mufrod mudhof dalam kata “nikmat” menunjukkan atas “seluruh nikmat”.

Jadi pendapat yang menyatakan halalnya seluruh haiwan air (tanpa pengecualian), itulah yang lebih tepat.

Sebahagian ulama mengecualikan katak, buaya, dan ular (yang hanya hidup di air). Mereka menyatakan haiwan-haiwan ini tidak halal.

Namun pendapat yang tepat haiwan-haiwan tadi tetap halal (kecuali katak, -pen). Seluruh haiwan air itu halal, baik ditangkap dalam keadaan hidup mahu pun bangkai. [Fatawa Nur ‘ala Ad Darb, kaset no. 129, side A].

3. Fatwa Syaikh Muhammad bin Soleh Al Utsaimin

Syaikh ditanya: “Daging buaya dan kura-kura halal atau haram dimakan? Kerana kami menemukan makanan seperti itu di negeri kami, Sudan. Berilah penjelasan pada kami. Barakallahu fiikum.”

Beliau menjawab dengan hujah yang sama seperti di atas dengan sedikit tambahan,

“…akan tetapi sebahagian ulama menyatakan buaya itu tidak halal kerana buaya termasuk haiwan yang bertaring. Nabi sallallahu alaihi wa sallam telah melarang memakan haiwan yang bertaring baik itu haiwan buas. Sedangkan haiwan darat peliharaan (jinak) yang bertaring pun diharamkan. Akan tetapi, zahir ayat surat Al Maidah ayat 69 menunjukkan akan halalnya buaya. [Fatawa Nur ‘ala Ad Darb, kaset no. 137, side A].

4. Fatwa Syaikh Muhammad bin Soleh Al Utsaimin

Syaikh pernah menyanggah orang yang mengharamkan buaya dengan alasan buaya itu bertaring. Syaikh menyatakan yang dimaksud larangan dalam hadis adalah untuk haiwan darat yang bertaring. Sedangkan haiwan buas yang hidup di air, maka ia memiliki hukum tersendiri. Oleh kerana itu, dihalalkan memakan ikan jerung. Padahal ikan jerung juga memiliki taring yang digunakan untuk memangsa buruannya. [Syarhul Mumthi’15/34-35].

5. Fatwa Syaikh Abdul Aziz bin Abdillah bin Baz

Selain fatwa di nombor 1 di atas, Syaikh Abdul Aziz bin Abdillah bin Baz juga menghalalkan memakan buaya di fatwanya bernombor 23/24.

Kesimpulan

▪ Pendapat yang menyatakan buaya haram dimakan kerana ia adalah haiwan yang buas dan bertaring adalah tidak tepat kerana hadis yang digunakan tersebut adalah khusus untuk haiwan di darat sahaja. Sedangkan di sana ada hadis lain yang khusus untuk haiwan yang di air.

▪ Pendapat yang menyatakan buaya haram dimakan kerana ia adalah haiwan dua alam juga tidak kukuh kerana tiada dalil dari Al-Quran dan hadis yang sahih yang disertakan untuk menyokong pendapat mereka.

▪ Dalil sangat jelas dan kukuh bahawa segala haiwan yang mampu hidup di air adalah halal dimakan

▪ Tulisan ini bukanlah bertujuan menyatakan memakan daging buaya adalah dituntut dalam Islam atau ianya adalah sunnah Nabi. Tulisan ini sekadar membahas secara ringkas tentang hukum makan buaya. Lebih baik tahu hukumnya dari sudut agama dari bersangka-sangka.

▪ Jika berselera untuk makan silakan. Jika tidak, di Malaysia masih lagi banyak makanan lain yang kita boleh makan.

Lihat video: https://www.facebook.com/abuaqif.alaman/posts/2015910175309436

– Abu Aqif

Leave a Reply