ECRL: Terowong 49KM Rentas Banjaran Titiwangsa

0
125

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama Pengerusi China Communication Construction Group Ltd, Liu Qitao (tiga kanan); Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (lima kiri); Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob (enam kiri); Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman (empat kiri); Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob (tiga kiri) dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar (kiri) pada majlis pelancaran projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) di tapak projek KotaSAS Central, Kuantan. – Foto Farizul Hafiz Awang

KUANTAN: Projek Rangkaian Rel Kereta Api Timur (ECRL) akan melalui terowong sepanjang 49 kilometer (km) di 19 lokasi dari Pelabuhan Klang, Selangor ke Tumpat, Kelantan.

Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata terowong terpanjang di Malaysia itu akan dibina ialah dari Bentong, Pahang ke Gombak, Selangor sejauh 17.8 kilometer.

“Ia akan merentasi Banjaran Titiwangsa manakala kerja mengorek terowong dijangka bermula awal tahun depan.

“Mengikut perancangan, pembinaan terowong yang sebahagian besarnya di kawasan di Pahang dan sempadan Terengganu dan Kelantan akan mengambil masa empat tahun untuk disiapkan.

“Kita juga akan membina jambatan sepanjang 88.8 kilometer di kawasan berisiko banjir terutama di Terengganu dan Kelantan,” katanya ditemui pada majlis perasmian pecah tanah ECRL di Stesen Utama KotaSAS, di sini, hari ini.

Perasmian disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mohd Irwan Serigar berkata, kerja mengorek terowong itu akan menggunakan Mesin Pengorek Terowong (TBM) serta Koreak dan Ledak mengikut kesesuaian keadaan.

Projek mega bernilai kira-kira RM55 bilion dijangka siap pada 2024 itu adalah pengangkutan awam penumpang dan kargo yang berkemampuan memendekkan perjalanan dari Tumpat, Kelantan ke Gombak, Selangor hanya lima jam.-BH.

Leave a Reply