Menang Di Shah Alam, Menang Di Selangor – Najib

0
123

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak berucap pada majlis perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Shah Alam di Shah Alam, hari ini. – Foto Roslin Mat Tahir

SHAH ALAM: Usaha untuk menawan kembali Selangor perlu bermula di Shah Alam, berikutan kedudukannya sebagai ibu negeri, kata Datuk Seri Najib Razak.

Presiden UMNO berkata, justeru kehadirannya merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Shah Alam hari ini, membawa mesej politik bahawa perubahan perlu dilakukan di kawasan Parlimen itu jika mahu Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa di Selangor.

“Memang tujuan saya tidak lain tidak bukan untuk menghantar satu mesej politik. Kalau kita nak BN kembali berkuasa dan menerajui Selangor, perubahan itu mestilah lahir, berputik dan seterusnya berkembang menjadi gelombang kuat bermula di Parlimen Shah Alam ini.

“Umpamanya menang di Shah Alam menanglah di Selangor. Kita sebagai sebuah parti mestilah melakukan perubahan yang dituntut oleh masyarakat umum kerana dalam demokrasi berparlimen, ia bergantung kepada game of numbers (jumlah undi).

“Justeru, dalam kita mahu menjamin kejayaan, kita mesti letakkan minda kita ini seperti parti pembangkang.

“Dan sebagai parti pembangkang (di Selangor), kita tidak seharusnya dalam zon selesa,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Shah Alam di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Ketua UMNO Bahagian Shah Alam Datuk Azahari Shaari.

Najib yang juga Perdana Menteri, berkata keselesaan yang dialami ahli UMNO di Selangor adalah berikutan kedudukan BN sebagai Kerajaan Persekutuan dan menjadi tempat bergantung dan mendapatkan bantuan.

Namun, katanya, ahli UMNO tidak harus membiarkan mereka terus terpisah daripada pengundi Selangor untuk kali ketiga selepas dua kali mengalami kekalahan dalam pilihan raya umum terdahulu.

“Tidak mudah untuk mencapainya tetapi kita kena ada pemikiran boleh menang. Kalau kita menyusun langkah dan strategi yang tepat, kita ada banyak kelebihan.

“Antaranya sudah tentu kalau kita sebagai sebuah negeri yang sebahagian daripada Lembah Klang dan sebahagian daripada apa yang dikatakan sebagai The Greater Kuala Lumpur, kita perlukan perancangan dan ia tidak akan dapat dilakukan jika bukan parti yang sama memerintah di Selangor dan di Persekutuan,” katanya.

Pada majlis sama, Najib turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM3 juta kepada UMNO Bahagian Shah Alam untuk melaksanakan program mendekati rakyat, termasuk bagi mengimarahkan masjid dan surau serta aktiviti rumah ibadah penganut agama lain.

Beliau turut menghadiri acara Sepetang Bersama Perdana Menteri selepas perasmian mesyuarat itu.-BH.

Leave a Reply