Dalang Seludup Senjata Api, Dadah Ditembak Mati

0
239
KETUA Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff menunjukkan sepucuk pistol semi-automatik jenis Norinco bersama kelopak; lapan paket plastik lutsinar disyaki heroin seberat 40 gram bernilai kira-kira RM1,000 yang dirampas dalam kejadian berbalas tembakan di kawasan persimpangan Kampung Weng Dalam, dekat Baling awal pagi semalam, pada sidang media di Alor Setar, hari ini. – Foto Sharul Hafiz Zam

 

ALOR SETAR: Polis menembak mati lelaki yang disyaki dalang kegiatan penyeludupan senjata api dan dadah, di kawasan persimpangan Kampung Weng Dalam, dekat Baling awal pagi semalam.

Dalam kejadian pada jam 4.25 pagi itu, suspek berusia 41 tahun maut terkena dua das tembakan pada dada dan kepala selepas berbalas tembakan dengan polis.

Ketua Polis negeri, Datuk Asri Yusoff, berkata suspek terdahulu melepaskan beberapa das tembakan ke arah sepasukan polis yang menghampiri kenderaannya yang dikesan mencurigakan untuk tujuan pemeriksaan.

Sehubungan itu, katanya, anggota polis terbabit melepaskan tembakan balas untuk mempertahankan diri.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas kereta Toyota Vios digunakan suspek, pihaknya menemui sepucuk pistol semi-automatik jenis Norinco bersama kelopak; lapan paket plastik lutsinar disyaki heroin seberat 40 gram bernilai kira-kira RM1,000 dan dua nombor pendaftaran palsu.

“Siasatan lanjut dilakukan mendapati suspek berasal dari Kampung Selarung di Pengkalan Hulu, Perak dan mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan kes ugutan dan pecah rumah.

“Risikan awal dilakukan juga mendapati suspek terbabit dalam jenayah penyeludupan senjata api serta dadah di negara jiran dan kita percaya ketika diserbu suspek mungkin sedang menunggu untuk melakukan urus niaga haramnya itu, ” katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Asri berkata, tindakan susulan dilakukan dengan menyerbu kediaman suspek di Kampung Selarong semalam, sebelum pemeriksaan menemui bom paip , pelbagai jenis peluru hidup dan syabu dianggar bernilai RM17,500.

“Hasil serbuan dengan kerjasama polis Perak itu, kita menahan isteri suspek iaitu seorang warga Thailand berusia lingkungan 30-an yang dipercayai membantu suaminya itu dalam kegiatan jenayah terbabit.

“Wanita berkenaan kini ditahan reman untuk membantu siasatan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, selain Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Dadah Berbahaya 1952, ” katanya.-BH.

Leave a Reply