Pelbagai Halangan Tak Gugat Penjelajah Negara Tawan Titik 90 Darjah

0
150

Tiga penjelajah rakyat Malaysia menamatkan misi ke Titik 90 Darjah Kutub Utara, Khamis malam.

PETALING JAYA: Tiga penjelajah Malaysia dari Kelab Eksplorasi Tujuh Benua (KE7B) berjaya menamatkan misi ke Titik 90 Darjah Kutub Utara pada malam Khamis, lima hari lebih awal walaupun menempuh pelbagai halangan termasuk diganggu beruang kutub dan berdepan risiko jatuh ke dalam lautan ais.

Misi yang ketuai Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin bersama atlet dualthlon dan triathlon negara, Shahrom Abdullah dan Muhammad Irwan Yusoff Abdullah, ditamatkan pada pukul 5.06 petang Khamis waktu Kutub Utara (11.06 malam Khamis waktu Malaysia).

Penasihat KE7B, Datuk Akmar Hisham Mohd Yusof berkata, kejayaan menamatkan misi ekspedisi itu dimaklumkan Qobin menerusi panggilan telefon satelit pada Khamis malam.

“Alhamdulillah, negara kita sekali lagi mencatat sejarah dengan kejayaan Qobin, Shahrom dan Irwan yang berjaya bukan sahaja memahatkan nama mereka sebagai penjelajah Kutub Utara, malah mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengikut perancangan, Ekspedisi KE7B Rentas Kutub Utara 2017 akan membabitkan penjelajahan berski dengan menarik beban kereta luncur salji (sledge) sejauh 111 kilometer selama 11 hari bermula dari Stesen Barneo ke Titik 90 Darjah Kutub Utara.

Bagaimanapun, ketiga penjelajah negara berjaya menamatkan misi mereka dalam tempoh enam hari sahaja iaitu lima hari lebih awal daripada yang dijadualkan.

Ekspedisi ke Kutub Utara mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

 

Akmar berkata, kejayaan menamatkan penjelajahan pada Khamis juga merupakan hadiah cukup bermakna buat Qobin kerana ia jatuh pada hari ulang tahun kelahirannya ke-35.

Beliau menambah, penjelajahan tiga penjelajah itu bagi baki tiga kilometer terakhir menuju ke titik 90 darjah disifatkan paling mencabar kerana terpaksa berdepan dengan rekahan ais yang lebar, menyebabkan mereka berusaha keras untuk menyeberangi rekahan tersebut.

“Penjelajahan mereka pada hari ketiga juga diganggu oleh seekor beruang kutub yang menghampiri khemah salah satu kumpulan lain dan menyebabkan mereka terpaksa berjaga setiap masa,” katanya.

Menurut Akmar, Qobin turut menceritakan detik cemas berkenaan halangan-halangan yang mereka tempuhi, antaranya terlalu banyak bongkah ais yang pecah dan memaksa mereka berulang kali mengangkat ‘sledge’ dan berdepan risiko terjatuh ke dalam air laut ais kerana ketebalan ais hanya antara tiga hingga empat meter.

Pada 4 April lalu, kumpulan penjelajah negara itu berlepas ke Oslo, Norway sebelum berpangkalan di Longyearbyen, Svalbard, Norway selama seminggu bersama pasukan sokongan yang diketuai Akmar.

Ketiga mereka kemudiannya memulakan misi penjelajahan berski dari Stesen Barneo di Kutub Utara ke Titik 90 Darjah pada 14 April lalu.

“Apa yang lebih penting ialah ketiga-tiga penjelajah selamat dan berada dalam keadaan sihat sepenuhnya sepanjang misi jelajah tersebut walaupun berdepan dengan cabaran cuaca sejuk yang ekstrem sehingga mencecah negatif 40 darjah selsius,” kata Akmar.

Titik 90 Darjah Kutub Utara merupakan titik paling utara di bumi. Ia terletak pada latitud 90 darjah utara dan semua garisan longitud bertemu pada titik itu dan pada kedudukan itu, setiap arah seseorang itu menghadap adalah selatan.

Ekspedisi ke Kutub Utara itu merupakan aktiviti ekspedisi keenam KE7B selepas Ekspedisi KE7B Tujuh Puncak Tujuh Benua 2010, Ekspedisi KE7B Renangan Perpaduan Selat Inggeris 2012, Ekspedisi KE7B Felda Everest 2013, Ekspedisi KE7B Merentas Greenland 2014 dan Ekspedisi Jelajah KE7B Kutub Selatan 2015-2016.-MS.

Leave a Reply