Habiskan Masa 36 Tahun Bina Saluran Air

    0
    36

    HUANG Dafa berpuas hati dengan usahanya selama 36 tahun. – Sumber Oddity Central

    BEIJING: Kesukaran untuk mendapatkan bekalan air membuatkan seorang ketua kampung di China menghabiskan masa selama 36 tahun menggali saluran air sepanjang 10 kilometer yang merentasi tiga buah gunung.

    Huang Dafa, ketua kampung Caowangba yang terletak jauh di kawasan pendalaman di pergunungan wilayah Guizhou memulakan usaha tersebut pada 1959 walaupun pada awalnya tindakannya itu dianggap sia-sia oleh penduduk lain.

    Dafa meneruskan usaha terbabit demi menyelesaikan kekurangan air yang dihadapi oleh penduduk kampung disebabkan musim kemarau yang sering melanda kampung tersebut.

    Malah timbalannya, Xi Xhou mengimbas kembali masalah yang dihadapi penduduk kampung apabila mereka terpaksa bergantung pada satu-satunya perigi yang terdapat di kampung itu kerana semua sumber air lain telah kering.

    “Malah wujud peraturan bahawa penduduk tidak boleh mengambil air lebih daripada had yang ditetapkan.

    “Jika berbuat demikian, mereka tidak dibenarkan bersarapan pagi sebagai denda,” katanya.

    “Situasi tersebut memberi motivasi kepada kami untuk berbuat sesuatu yang mustahil.

    “Kami mempunyai sawah padi yang memerlukan sumber air setiap kali musim kemarau atau kami akan kelaparan,” katanya.

    Ketika itulah, Dafa muncul dengan idea menyalurkan air dari kampung Yebiao yang terletak kira-kira 10 kilometer daripada kampungnya tetapi dipisahkan dengan tiga kawasan pergunungan.

    Pada mulanya, penduduk kampung menganggap idea tersebut sebagai mustahil, tetapi Dafa terpaksa meneruskan usaha tersebut dengan permulaan meyakinkan beberapa pemuda kampung untuk mula menggali.

    SALURAN air yang diusahakan Huang Dafa merentasi tiga kawasan pergunungan. – Sumber Oddity Central

     

    Ketika itu, Dafa baru berusia 23 tahun dan masih belum bergelar sebagai ketua kampung, tetapi dia memimpin pasukan kecilnya untuk melaksanakan misi mustahil tersebut.

    Tempoh 10 tahun pertama menyaksikan penduduk kampung melaksanakan kerja sia-sia apabila sekadar menggali saluran air sejauh 100 meter menggunakan peralatan kuno, tetapi hasil yang mereka harapkan tidak menjadi.

    Disebabkan itu, Dafa mengambil keputusan untuk mengkaji kejuruteraan sistem air selama beberapa tahun di pekan Fengxiang  di Zunyi bagi memastikan usaha penduduk kampung tidak sia-sia.

    Pada awal 1990-an, Dafa kembali ke kampungnya dan meminta orang kampung untuk mencuba sekali lagi usaha mereka yang terbantut itu.
    Usahanya mendapat sokongan penuh penduduk kampung walaupun Dafa mengorbankan seluruh jiwa raganya untuk menjaga kebajikan mereka terjamin.

    Akhirnya pada 1995, saliran air sejauh 7,200 meter dan saliran kecil sepanjang 2,200 meter siap sepenuhnya dan air mula melimpahi kampung Caowangba.

    Malah saliran itu juga memberi manfaat kepada tiga kampung lain sepanjang laluan dan usaha tersebut dinamakan sebagai Terusan Dafa sebagai penghormatan kepada pencetus idea usaha berkenaan.

    “Saya berazam membawa air ke Caowangba. Penduduk kini memiliki sumber makanan yang banyak.

    “Jika kita mampu melakukan sesuatu, maka teruskan. Jangan menunggu. Saya mungkin membazirkan tempoh berpuluh-puluh tahun tanpa melakukan perkara bermanfaat,” kata lelaki berusia 82 tahun itu.

    Menurut portal Oddity Central, saluran air tersebut memberi manfaat kepada 1,200 orang dan meningkatkan pengeluaran beras antara 25,000 hingga 400,000 kilogram setiap tahun.-MS.

    Leave a Reply