KPKT Nafi Batal Projek BP1 Di Kawasan Pembangkang

0
34
MENTERI Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor di Bangunan UMNO Selangor, Shah Alam. – Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

 

PUTRAJAYA: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak membatalkan kelulusan projek BP1 di kawasan Parlimen yang tidak dimenangi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar, berkata sejak tahun lalu peruntukan untuk KPKT sangat terhad dan ia tidak boleh diagihkan kepada semua 222 kawasan Parlimen di negara ini.

Justeru, katanya, pihak kementerian akan mengutamakan kawasan Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasai BN terlebih dahulu.

“Selepas mengadakan penyusunan, barulah peruntukan ini diagihkan kepada kawasan yang tidak dimenangi BN,” katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra Menteri KPKT Bersama Penduduk Putra Perdana, Dengkil, di sini malam tadi.

Baru-baru ini, sebuah portal berita internet melaporkan bahawa KPKT membatalkan semua kelulusan projek kerajaan tempatan di kawasan Parlimen di mana BN tewas seperti yang didakwa terkandung dalam pekeliling dikeluarkan Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Abu Bakar Johar, bertarikh 17 Mac 2017.

Mengulas lanjut, Noh menjelaskan pengagihan peruntukan dibuat berdasarkan keutamaan iaitu kepada wakil rakyat yang berjanji untuk melakukan pembangunan di kawasan tertentu sewaktu pilihan raya lalu.

“Tuduhan ini adalah tidak benar kerana di Selangor banyak kawasan BN kalah terutama di Shah Alam dan Sepang, namun kita tetap luluskan banyak projek di sini.

“Sekiranya ada permohonan pemimpin pembangkang, kita akan cuba pertimbangkan dan sebagai contoh, kita juga luluskan projek di kawasan Ipoh Timur yang dikuasai pembangkang. Kenapa perkara ini perlu dipertikai?

“Saya mengalu-alukan dan bersedia berhadapan dengan individu kalangan parti pembangkang yang ingin membawa masalah perbelanjaan rakyat ini ke mahkamah untuk tindakan undang-undang,” katanya.-BH.

Leave a Reply