Harga Minyak Susut Ke Paras Terendah

0
100

NEW YORK: Harga minyak susut ke paras terendah dalam tempoh dua minggu berikutan peningkatan mengejut dalam inventori petrol di Amerika Syarikat (AS).

Kejatuhan harga itu juga disebabkan oleh peningkatan dalam hasil minyak domestik, yang mengurangkan pengimbangan hasil minyak yang dilakukan oleh negara lain bagi mengatasi masalah lebihan bekalan global.

Niaga hadapan AS ditutup rendah AS$1.97 kepada AS$50.44 a setong, penurunan 3.8 peratus, yang terbesar dalam tempoh sehari sejak 8 Mac lalu.

Minyak mentah Brent ditutup 3.5 peratus lebih rendah atau AS$1.96 setong kepada AS$52.93.

Stok minyak mentah AS susut satu juta tong pada minggu lalu menurut Pentadbiran Maklumat Tenaganya (EIA). Jumlah itu lebih kecil daripada jangkaan.

Bekalan petrol pula mencatat peningkatan sebanyak 1.5 juta tong walaupun berlakunya aktiviti penapisan yang lebih banyak.

Peningkatan bekalan petrol dan pengeluaran minyak mentah AS serta import dari negara OPEC telah memberi tekanan kepada harga minyak.

Menurut EIA, import mingguan daripada negara OPEC meningkat kepada 900,000 tong.

“Kadar inventori masih kekal tinggi,” kata Pengurus Penyelidikan Pasaran di Tradition Energy, Gene McGillian.

Katanya, memandangkan AS sedang memasuki musim panas, peningkatan dalam bekalan petrol adalah mengejutkan memandangkan permintaannya tidak sekuat yang dijangka.

“Lebihan bekalan global masih berterusan walaupun OPEC dan negara pengeluar lain telah mencari jalan untuk mengurangkan hampir 1.8 juta tong minyak mentah sehari pada separuh pertama tahun ini,” katanya.-BH.

Leave a Reply