Agenda Pemerkasaan Bumiputera Jana RM108 Bilion – PM

0
44

Najib (tengah) melihat produk yang dihasilkan oleh syarikat bumiputera ketika melawat ke tapak pameran selepas merasmikan Halatuju Transformasi Ekonomi Bumiputera di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Rabu. – foto NORAFIFI EHSAN/The Star

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM108 bilion berjaya dijana melalui semua inisiatif yang terkandung dalam dua Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera, sehingga Mac tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dua agenda itu ialah Halatuju Transformasi Ekonomi Bumiputera yang dilancar pada 2011 dan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera pada 2013.

Najib berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM80 bilion adalah daripada peluang perniagaan Bumiputera, khususnya RM54 bilion melalui dasar ”Carve Out and Compete”.

“Contoh terbaik ”Carve Out and Compete” yang ingin saya kongsikan adalah kejayaan fasa pertama projek InfraRakyat mega iaitu MRT Jajaran Sungai Buloh-Kajang sepanjang 51 kilometer.

“Bagi projek MRT Fasa 1 sahaja, daripada nilai pakej pembangunan projek RM21.2 bilion, sebanyak 51 peratus telah diberikan kepada kontraktor Bumiputera,” katanya semasa berucap melancarkan Transformasi Kesejahteraan Bumiputera, di sini, Rabu.

Beliau berkata, ”Carve Out and Compete” menyediakan ruang dan peluang kepada syarikat Bumiputera untuk mendapat kontrak dan menyertai projek mega yang ditawarkan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan swasta berdasarkan merit sesama Bumiputera.

Selain daripada dasar itu, Najib berkata terdapat banyak lagi inisiatif yang diperkenal di bawah dua agenda tersebut antaranya termasuklah program syarikat Bumiputera berprestasi tinggi (TERAS), Dana Mudah Cara dan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera.

Menurutnya, menerusi program TERAS sebanyak 1,014 syarikat telah diberikan sokongan dalam bentuk pembinaan kapasiti dan pembiayaan.

“Suka saya maklumkan sehingga Mac 2017 sebanyak 306 syarikat TERAS telah menerima kelulusan pembiayaan bagi pembelian aset dan modal kerja bernilai RM1.3 bilion,” katanya.

Menerusi Dana Mudahcara pula, yang merupakan satu insentif menggalakkan pelaburan swasta Bumiputera, Perdana Menteri berkata sebanyak 469 projek telah mendapat kelulusan pembiayaan.

Menurutnya, menerusi Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang dilancar pada 2013 pula ia telah melahirkan Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB), Skim Permulaan Ekonomi Bumiputera (SUPERB) dan Unit Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera.

Najib berkata, menerusi SUPERB yang memperuntukkan RM100 juta sebagai modal permulaan, ia telah berjaya membantu seramai 125 anak muda merealisasikan idea perniagaan dengan jumlah keseluruhan geran bernilai RM65.5 juta.

Beliau berkata kejayaan tersebut tidak terhenti setakat itu sahaja, sebaliknya menerusi hasil dapatan daripada Makmal Sindikasi Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera 2.0, beberapa penambahbaikan telah diterima dan akan diberi pertimbangan.

Justeru itu, katanya, Transformasi Kesejahteraan Bumiputera atau TKB dilancarkan bagi membawa komuniti dan usahawan Bumiputera yang berdaya maju, kreatif serta inovatif bersaing di peringkat global. – BERNAMA

Leave a Reply