24 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 27, 2017
Home BERITA Suspek Utama Sindiket Pelaburan CPO Ditahan

Suspek Utama Sindiket Pelaburan CPO Ditahan

0
161

Kenderaan mewah milik anak suspek utama kes tipu pelaburan yang dirampas dalam serbuan di Lembah Klang, kelmarin.

KUALA LUMPUR  – Menjanjikan pulangan pelaburan jual beli mi­nyak sawit mentah atau lebih dikenali sebagai crude palm oil (CPO) sehingga 30 peratus.

Itu taktik licik sindiket penipuan yang dikendalikan dua beranak sehingga menyebabkan ratusan pelabur rugi RM31 juta.

Difahamkan, si bapa yang ber­usia 50-an dipercayai bergelar Datuk (polis sedang siasat sama ada suspek memakai gelaran palsu) berperanan mencari pelabur manakala anaknya berumur 35 tahun menguruskan hal ehwal kewangan.

Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar selepas sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ko­mersial (JSJK) Bukit Aman menahan anak suspek dalam satu serbuan di Lembah Klang semalam, hasil 248 laporan yang dibuat oleh para pelabur yang menjadi mangsa.

Pada masa sama, gerakan memburu bapa suspek yang dipercayai berada di negara ini sedang giat dijalankan.

Pengarah JSJK, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, siasatan mendapati suspek yang ditahan bertanggungjawab mengendalikan wang syarikat pelaburan yang mula bergiat aktif sejak tahun lalu.

Menurut beliau, dalam serbuan itu, pihaknya merampas beberapa kenderaan mewah milik suspek ia­itu Nissan GTR, Lamborghini Aventador dan Porsche Pana­mera serta dua buah motosikal jenis BMW GS RT200 dan Harley Davidson Fatboy.

Ujarnya, turut dirampas ialah sebuah komputer, dokumen geran kenderaan, geran tanah serta wang tunai RM53,035 dan 18.8 juta rupiah (RM6,228).

“Kita telah mendapatkan pe­rintah reman terhadap suspek selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Ha­ram 2001 (AMLA),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut me­ngenai taktik sindiket terbabit Acryl Sani memberitahu, mereka menjanjikan empat pakej pelaburan berasaskan jual beli minyak sawit mentah iaitu satu matrik tan, dua matrik tan, lima matrik tan dan 10 matrik tan de­ngan jumlah dividen yang berbeza mengikut pakej.

Jelasnya, pelabur yang membayar RM1,855 untuk pakej satu matrik tan dijanjikan keuntungan sebanyak 15 peratus manakala bagi pakej lima matrik tan pula, mereka perlu membayar RM8,540 serta diberikan dividen 20 peratus.

“Bagi pakej 10 matrik tan, sindiket menawarkan harga RM16,422 de­ngan keuntungan sebanyak 30 peratus. Selain itu, pelabur turut dijanjikan bayaran dividen pada setiap 12 hari bekerja setiap bulan malah sindiket turut menawarkan bonus penajaan kepada pelabur yang membawa pelabur baharu,” katanya.

“Siasatan awal mendapati, sindiket telah membayar dividen yang dijanjikan sebagai langkah untuk meyakinkan pelabur namun, setelah kegiatan penipuannya berkembang sehingga me­ngaut keuntungan jutaan ringgit mereka bertindak menutup syarikat operasi dan melarikan diri,” katanya.

Sehubungan itu, Acryl Sani mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak menjadi mangsa penipuan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa yang singkat.

“Sekiranya ditawarkan pelaburan sebegini, segeralah membuat semakan dengan agensi kerajaan berkaitan bagi memastikan kesahihan pelaburan tersebut sekaligus mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan,” ujarnya.-Utusan.

KEMASKINI :-

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki yang juga suspek utama sindiket pelaburan minyak sawit mentah (CPO) di Pulau Pinang petang tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, berkata suspek ditahan di sebuah restoran pada jam 4 petang.

“Suspek akan dibawa ke rumahnya untuk pemeriksaan dan rampasan kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar turut berkongsi kejayaan JSJK menahan suspek utama sindiket terbabit di akaun Twitter rasminya.

“Syabas JSJK Bukit Aman @PDRMsia tadi, di Pulau Pinang, tahan suspek utama, kes tipu CPO yang mengakibatkan 248 orang kerugian lebih RM31 juta. #GoPDRMGo,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan JSJK Bukit Aman menahan seorang ahli sindiket pelaburan CPO yang memperdaya orang ramai membabitkan kerugian RM31 juta.

Penahanan suspek berusia 35 tahun yang juga individu penting dalam sindiket terbabit dilakukan di Lembah Klang pada Ahad lalu hasil maklumat awam dan risikan.

Sindiket yang aktif sejak tahun lalu itu dipercayai didalangi seorang lelaki berpangkat ‘Datuk’, menawarkan pelaburan berasaskan jual beli minyak sawit dengan menjanjikan pulangan dividen hingga 30 peratus, berdasarkan pakej yang diambil. -BH.

Leave a Reply

%d bloggers like this: