Takiyuddin Umum Tarik Diri Pencalonan Naib Presiden

0
110
GAMBAR fail, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan ketika sidang media sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-62 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, Kota Bharu, pada tahun lalu. – Foto NSTP/Abdullah Yusof

 

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan mengumumkan menarik diri daripada pencalonan jawatan Naib Presiden pada pemilihan menjelang Muktamar Tahunan itu di Kedah, akhir bulan ini.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu turut mengisytiharkan menarik diri daripada pencalonan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk sesi 2017/2019.

“Memandangkan saya mempunyai keyakinan terhadap kepemimpinan tertinggi PAS Pusat sedia ada serta melihat keserasian dalam kepemimpinan kini membabitkan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-naib Presiden, maka saya membuat keputusan menarik diri dari bertanding jawatan Naib Presiden.

“Saya yakin komposisi sedia ada ini akan mampu membawa PAS menuju masa depan yang lebih cemerlang, khusus untuk menghadapi Pilihan raya Umum ke-14 (PRU ke-14) nanti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Takiyuddin berkata, penarikan diri bagi pencalonan Jawatankuasa PAS Pusat pula bagi memberi peluang kepada calon-calon lain yang menawarkan diri untuk berkhidmat kepada parti.

“Saya bersedia menerima sebarang jawatan lantikan yang diiktiraf sesuai oleh Presiden Parti dan InsyaAllah akan memberikan sumbangan terbaik sekiranya diberikan amanah itu nanti,” katanya.-BH.

Leave a Reply