Pahang Elak Diaibkan Selangor

0
126
PEMAIN Pahang FA, Pemain Pahang FA, Mohd Afif Amiruddin menanduk bola sambil diasak pemain Selangor, Victor Stellan Astafei dalam saingan Liga Super 2017 di Stadium Darul Makmur. – Foto Muhd Asyraf Sawal

 

KUANTAN: Skuad Pahang sekadar mencatat keputusan seri 2-2 dengan musuh tradisi, Selangor pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur sebentar tadi.

Jaringan pemain pertahanan Pahang, Mohd Faisal Rosli tiga minit sebelum tamat perlawanan menyelamatkan tuan rumah daripada tewas di laman sendiri.

Pada perlawanan itu, tuan rumah dikejutkan gol pendahuluan lawan yang dijaringkan Juliano Mineiro dari luar kotak penalti sekali gus menewaskan penjaga gol Pahang, Wan Azraie Wan Teh seawal minit keenam.

Tersentak jaringan itu, Pahang tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan 1-1 apabila kapten pasukan, Matthew Davies muncul penjaring untuk mengecewakan penjaga gol Selangor, Khairul Azhan Mohd Khalid empat minit kemudian.

Pada minit ke-16, pemain tengah tuan rumah, Ahmad Syamim Yahya memiliki peluang untuk meletakkan skuad Tok Gajah di hadaoan tetapi bola sepakannya melepasi palang gol.

Begitu juga The Red Giants, bola tendangan penyerang import, Forkey Doe hampir memberikan gol tetapi terkena tiang di sebelah kiri biarpun Wan Azraei sudah tertewas.

Aksi berbalas serangan kedua-dua pasukan merancakkan lagi perlawanan tetapi mereka akur keputusan 1-1 kekal sebaik menamatkan permainan pada separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Forkey Doe mudah menyempurnakan sepakan penalti selepas Victor Astafei dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh Mohd Faisal sekaligus Selangor mendahului 2-1 pada minit ke-63.

Pahang yang ketinggalan berusaha untuk kembali menyamakan kedudukan dengan melakukan serangan pantas tetapi dipatahkan jentera pertahanan lawan.

Namun, pada minit ke-87, Faisal menebus kesilapan apabila menjaringkan gol penyamaan 2-2 untuk memastikan Pahang tidak diaibkan di laman sendiri ketika selangor gbira kerana pulang sekurang-kurangnya dengan satu mata di tempat lawan.-BH.

Leave a Reply