Perniagaan Cip Memori Bantu Samsung Bangkit

0
174
Telefon pintar terbaharunya, Galaxy S8 dipamerkan di sidang akhbar di New York pada 29 Mac 2017. – Foto AFP

 

SEOUL: Rekod pendapatan tertinggi yang dicatatkan unit cip Samsung Electronics Co Ltd, dijangka melonjakkan keuntungan suku pertama gergasi elektronik itu ke paras tertinggi dalam tempoh tiga setengah tahun.

Suku tahun kewangan juga akan menjadi lebih baik jika telefon pintar terbaharunya, Galaxy S8 berjaya di dalam pasaran.

Lonjakan dalam perniagaan cip memori yang diperkukuhkan oleh permintaan daripada telefon pintar dan pelayan membantu Samsung menangani kegagalan mahal telefon pintar Galaxy Note 7 tahun lalu serta masalah pengurusan.

Naib Pengerusinya, Lee Jae-yong sedang dibicarakan atas tuduhan rasuah dan tuduhan lain yang dikaitkan dengan skandal yang mengheret kepada pemecatan serta penangkapan Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye.

Saham Samsung, syarikat terbesar Asia dari segi permodalan pasaran dan pengeluar cip memori terbesar dunia berada hampir ke rekod tertinggi selepas melonjak hampir 17 peratus tahun ini, ditambah dengan kenaikan 43 peratus tahun lalu.

Kaji selidik Thomson Reuters daripada 18 penganalisis secara puratanya menganggarkan keuntungan operasi Samsung bagi tempoh Januari-Mac meningkat 41 peratus daripada setahun lalu kepada AS$8.44 bilion (RM37.1 bilion), dipacu oleh keuntungan unit cip.

Ia keuntungan tertinggi sejak suku ketiga 2013.

Ketika Samsung bersedia menjual model Galaxy 8 bermula 21 April ini, unjuran purata kaji selidik sama menjangkakan Samsung akan merekodkan keuntungan tertinggi pada suku kedua. -Reuters

Leave a Reply