PKS Melalui DFTZ Boleh Sumbang 80% KDNK

0
156

Sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui inisiatif Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ), mampu menyumbang 80 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kata Datuk Seri Najib Razak. Perdana Menteri berkata, peratusan itu akan meningkat berbanding pada tahap 37 peratus ketika ini.

“Sudah pasti inisiatif DFTZ ini akan membolehkan sektor PKS menyumbang kepada KDNK antara 60 peratus hingga 80 peratus selepas ini. “Jika dahulu barangan dikeluarkan PKS hanya dijual dalam negara, namun selepas ini ia boleh dipasarkan ke peringkat global menerusi DFTZ, ” katanya ketika berucap melancarkan DFTZ di ibu negara, hari ini.

Najib berkata, kerajaan juga sedia menawarkan kawasan berkeluasan 46, 451.52 meter atau 500,000 kaki persegi di Bandar Malaysia untuk melaksana salah satu daripada tiga komponen DFTZ. Katanya, kerajaan juga bersetuju menyediakan kawasan seluas 8 hektar di KLIA Aeropolis bagi melaksana inisiatif sama, malah sedia memberi pertimbangan untuk menambah kepada 36 hektar. Selain itu, katanya, usaha berkenaan satu kejayaan baharu yang dicapai negara, sudah pasti pelaksanaannya membawa pelbagai manfaat kepada ekonomi rakyat dan sektor kerjaya.

Sementara itu, jutawan Internet dari China, Jack Ma, yang juga Pengerusi Eksekutif Alibaba Group menyifatkan usaha sama sama ini satu yang positif, selain melabelkan Malaysia sebagai mesra perniagaan. “Penubuhan DFTZ adalah yang pertama dilakukan di luar China,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis sama. Beliau berkata, persetujuan untuk melaksana inisiatif ini hanya dipersetujui dalam tempoh 10 minit ketika perbincangan antara beliau dan Najib diadakan di China, akhir tahun lalu.

Berita Harian

Leave a Reply