Indeks Harga Pengguna Februari Meningkat 4.5 Peratus Kepada 119.7

0
336

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) — Indeks Harga Pengguna (IHP), ukuran inflasi, meningkat sebanyak 4.5 peratus kepada 119.7 pada Februari 2017 berbanding 114.5 pada bulan yang sama tahun lepas, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Jabatan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, ini diikuti dengan kenaikan sebanyak 4.3 peratus dalam indeks bagi makanan dan minuman bukan alkohol yang menyumbang 30.2 peratus kepada wajaran IHP.

Antara kumpulan utama yang mencatatkan peningkatan IHP ialah pengangkutan (+17.9 peratus), perkhidmatan rekreasi & kebudayaan (+3.1 peratus), kesihatan (+2.4 peratus), restoran dan hotel (+2.3 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (+2.2 peratus).

Kumpulan pengangkutan menunjukkan peningkatan sebanyak 17.9 peratus pada asas tahun ke tahun bagi Februari 2017, setelah naik 8.3 peratus pada Januari 2017.

Menurut jabatan itu, harga purata 1 liter petrol RON95 pada bulan yang dikaji ialah RM2.30 berbanding RM1.75 pada bulan yang sama tahun lepas.

Harga petrol RON97 meningkat kepada RM2.60 pada Februari 2017 daripada RM2.05 pada bulan yang sama tahun 2016.

Jika dikaji berdasarkan bulanan pula, IHP bagi Februari 2017 meningkat sebanyak 1.3 peratus kepada 119.7 jika dibandingkan dengan Januari 2017, kata Jabatan Perangkaan.

Leave a Reply