Hutang Isi Rumah Berkembang Perlahan Pada 2016

0
187

KUALA LUMPUR: Jumlah hutang isi rumah di Malaysia terus mencatat pertumbuhan tahunan sederhana sebanyak 5.4 peratus pada 2016 berbanding peningkatan 7.3 peratus pada 2015 dan peningkatan 14.2 peratus pada 2010.

Ia adalah kadar pertumbuhan lebih perlahan sejak 2010, demikian mengikut Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2016 yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia, hari ini.

Hutang isi rumah terkumpul berjumlah RM1.086 trilion pada akhir 2016 dengan sejumlah besar hutang isi rumah (62.6 peratus) masih dalam bentuk pinjaman yang bercagarkan harta tanah dan pelaburan yang prinsipalnya dijamin.

Permintaan terhadap pembiayaan untuk pembelian rumah, kekal agak kukuh dengan pinjaman perumahan terkumpul terus berkembang 9.1 peratus tahun lalu berbanding pertumbuhan 11 peratus tahun sebelumnya.

Selain pembelian rumah untuk diduduki sendiri, isi rumah secara amnya mengurangkan pinjaman lain selaras dengan kemampuan membayar balik pinjaman.

Hal itu dapat diperhatikan berdasarkan perkembangan pembiayaan terkumpul bagi pembelian hartanah bukan kediaman terutama kedai, meningkat 3.5 peratus berbanding pertumbuhan 8.1 peratus pada 2015, yang mana nyata lebih perlahan.

Selain itu, pinjaman untuk pembelian kereta dan sekuriti masing-masing menurun 0.8 peratus dan 1.5 peratus pada 2016.

Keupayaan isi rumah untuk membayar balik hutang pada amnya kekal kukuh dengan pendapatan purata mencatat pertumbuhan sederhana 5.5 peratus pada 2016 berbanding pertumbuhan 5.7 peratus pada 2015.

Aset kewangan dan aset kewangan mudah tunai isi rumah kedua-duanya kekal tinggi secara agregat, masing-masing mencakupi 2.1 dan 1.4 kali hutang.

Dari segi nilai, aset kewangan isi rumah meningkat sebanyak RM113.4 bilion berbanding peningkatan hutang sebanyak RM55.6 bilion.

Pemegangan deposit dan instrumen mirip deposit yang tinggi yang mewakili 43 peratus daripada aset kewangan isi rumah terus memberikan fleksibiliti kepada isi rumah untuk membuat penyesuaian terhadap perubahan pendapatan atau perbelanjaan di luar jangkaan.

Bahagian pinjaman kumpulan isi rumah dengan pendapatan bulanan hingga RM3,000 terus menurun dengan mencakupi 22.2 peratus daripada jumlah hutang isi rumah.

Pendedahan bank kepada kumpulan isi rumah itu pula lebih rendah pada 19.1 peratus berbanding jumlah pembiayaan bank kepada isi rumah.

Daripada jumlah hutang itu, kira-kira separuh adalah dalam bentuk pembiayaan berkadar tetap, yang dapat mengimbangi kesan perubahan dalam kos peminjaman terhadap keupayaan membayar balik hutang.

Risiko terhadap kestabilan kewangan domestik yang berpunca daripada keberhutangan isi rumah yang tinggi terus berkurang berikutan amalan tanggung jamin kredit dan pengurusan risiko institusi kewangan yang mantap.-BH.

Leave a Reply