Pemilik Kelongsong Pelancar Roket Ditemui Di P. Kendi Belum Dikenal Pasti

0
179

GEORGE TOWN: Polis masih belum mengenal pasti pemilik sebuah kelongsong pelancar roket yang ditemukan nelayan kira-kira 34 batu nautika ke barat daya Pulau Kendi dekat sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superitendan Anuar Omar berkata maklumat mengenai penemuan objek sepanjang kira-kira 1.5 meter dengan ukur lilit 0.4 meter itu telah dihantar kepada agensi-agensi yang memiliki pelancar seumpama itu termasuk pihak tentera.

“Namun setakat ini masih belum ada maklum balas daripada pihak-pihak berkenaan dan yang pastinya ia bukan milik kita (polis),” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Isnin.

Beliau berkata pelancar roket dengan nombor siri PN 050-0900-134-1, SN-672, Batch:9005 itu dipercayai mungkin digunakan oleh mana-mana agensi dalam sesi latihan di laut.

Sabtu lepas, polis menerima laporan berhubung penemuan objek tersebut oleh seorang tekong bot warga Indonesia, yang sedang menangkap ikan di lokasi berkenaan pada pukul 12.30 tengah hari.

Menurut Anuar siasatan awal mendapati ianya ialah pelancar roket yang telah digunakan dan perkara itu dimaklumkan kepada pegawai penyiasat jenayah dan Unit Pemusnah Bom Ibu pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.– Bernama

Leave a Reply