Jangan Gadai Masa Depan Negara Dengar Berita Palsu – Najib

0
94

Najib menyampaikan amanat pada Perasmian Serentak Persidangan Tahunan UMNO dan Sayap-Sayap Cawangan 2017 Bahagian Pekan pada Ahad. Foto Bernama

PEKAN: Rakyat perlu menyemak dan meneliti setiap berita yang disebarkan oleh pembangkang terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bagi mengelak daripada terperangkap dengan agenda menjatuhkan kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jika rakyat tertipu dengan dakyah-dakyah berkenaan, masa depan negara bakal terjejas apabila membuat keputusan yang silap semasa PRU itu nanti.

“Dalam persekitaran politik yang sentiasa dinamik, ia terbuka dan terdedah kepada perubahan dan mungkin orang akan buat keputusan berdasarkan kepada maklumat yang salah dan tidak tepat yang mana keputusan yang dibuat itu boleh memberi kesan yang cukup besar dan kadangkala buruk pada kerajaan.

“Kita lihat perkara ini tidak hanya berlaku di negara kita malah negara maju, contohnya semasa United Kingdom mengambil keputusan untuk keluar dari Kesatuan Eropah.

“Keputusan itu dibuat berdasarkan kempen Brexit yang disogokkan dengan maklumat yang tidak tepat dan akhirnya ia silap dan sejarah United Kingdom berubah sama sekali… kini tidak boleh kembali kepada apa yang telah mereka lalui sebelum ini,” katanya.

Najib, yang juga Anggota Parlimen Pekan, berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian serentak mesyuarat cawangan dan ketiga-tiga sayap Umno cawangan dalam Bahagian Pekan, di sini Ahad.

Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Umno bahagian, Datuk Abu Bakar Harun, Ketua Pemuda bahagian, Datuk Shahruddin Ahmad dan Ketua Puteri bahagian, Malia Irdawatie Khairuddin.

Beliau berkata semasa PRU13, pembangkang juga banyak menyebarkan berita yang tidak benar untuk tujuan menakut-nakutkan pengundi supaya membenci kerajaan termasuk isu pembinaan kilang Lynas dan kehadiran 40,000 pengundi hantu dari Bangladesh.

“Kita lihat kebanyakan berita yang disebarkan pembangkang bukan dibuat berdasarkan fakta yang sahih kerana ada juga yang dibuat untuk mengelirukan rakyat supaya marah kepada kerajaan.

“Contohnya isu kilang Lynas di Kuantan, sebelum PRU13 ia begitu hangat diperkatakan sehingga pembangkang kata kalau ada kilang ini seolah-olah negara kita kilang nuklear yang membahayakan penduduk kerana tahap radiasi yang tinggi,” katanya.

“Sekarang sudah lima tahun berlalu, senyap sepi…pembangkang tidak lagi bangkit isu ini sebabnya PRU sudah berakhir,” katanya. Hakikat sebenar, katanya, mengikut laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) sendiri mengesahkan tahap radiasi di kawasan kilang itu sendiri lebih rendah berbanding di bandar Kuantan.

Justeru, beliau berharap rakyat tidak terpengaruh dengan dakyah buruk tentang kerajaan yang semakin banyak disebarkan oleh pembangkang sejak akhir-akhir ini semata-mata untuk kepentingan agenda politik mereka.

“Jangan terpengaruh dengan tuntutan kononnya jika Umno dan Barisan Nasional kalah, keadaan akan menjadi lebih baik, sedangkan pembangkang hari ini sendiri tidak sekata dalam banyak perkara.

“Mereka buat simbol dan menifesto yang hampir sama tetapi bagaimana boleh berjaya jika asas perjuangan pun tidak selaras, saya tidak percaya ia boleh dilakukan dan ini mungkin hanya lakonan peringkat awal bertujuan menjatuhkan BN dan Umno.

“Dalam agama Islam juga kita diingatkan supaya selidik berita terutama yang disampaikan oleh orang fasik supaya tidak timbul fitnah dan buruk sangka kepada orang lain ,”katanya.

Sementara itu, presiden Umno itu meminta anggota dan pemimpin Umno terus berpegang kepada konsep wala’ ataupun kesetiaan kepada pemimpin demi keutuhan dan perpaduan parti untuk menghadapi PRU14 akan datang.

“Kita mesti memahami bahawa sebagai sebuah parti politik, kita ada hubungan antara pemimpin dan anggota. Dalam persidangan Umno tahun lepas saya telah menghuraikan dengan panjang lebar konsep ketaatan kepada pemimpin atau wala’.

“Kalau kita ada hubungan kesetiaan dan ketaatan, parti kita akan jadi kuat, sebaliknya kalau selalu pertikai apa sahaja keputusan oleh parti apatah lagi keputusan yang tidak memihak kepada kita, ia akan menyebabkan kita mencari jalan pertikai keputusan itu, ataupun lebih buruk menjadi gunting dalam lipatan.

“Sehubungan itu kita berharap apabila tiba masanya PRU nanti jangan ada anggota parti yang khianat kerana parti inilah harapan kita…kalau kita tergugur maka sukar bagi kita mengembalikan kekuatan parti.

“Kembalilah kepada prinsip wala’ ia atau ketaaatan kerana amat besar pengertian kepada kita semua,” katanya. – Bernama

Leave a Reply