Alibaba rancang buka hab pengedaran

0
259

KUALA LUMPUR 18 Mac –Syarikat e-dagang terbesar China, Alibaba Group Holding Ltd. (Alibaba) merancang membuka hab pengedaran di Malaysia bagi meme­nuhi perniagaan yang semakin berkembang pesat di rantau ini.

Menurut dua sumber yang terlibat dalam perbincangan tersebut, hab itu akan dibangunkan dalam kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dengan keluasan 9,996 hektar dan dijangka mampu menjana pelaburan domestik dan antarabangsa lebih RM7 bilion.

Pengerusi Eksekutif Alibaba, Jack Ma dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengumumkan rancangan itu dalam sebuah majlis di sini pada minggu hadapan.

Pembukaan hab itu akan dibantu oleh agensi-agensi berkaitan Malaysia namun masih belum jelas sama ada Alibaba akan melabur sebarang dana dalam projek tersebut.

“KLIA memang mempu­nyai kemudahan untuk Alibaba mengemudi perkhidmatan pengedaran di sini dan sekiranya syarikat itu berhasrat mengembangkan perniagaan pada masa hadapan, terdapat pilihan untuk membina di kawasan yang belum dibangunkan di sekitar KLIA,” kata sumber-sumber berkenaan.

Walau bagaimanapun, Alibaba dan Najib tidak memberi maklum balas apabila ditanya mengenai perkara tersebut. Najib telah melantik Jack Ma sebagai penasihat ekonomi digital ketika mengadakan lawatan rasmi ke China pada November tahun lalu.

Media Malaysia melaporkan Jack Ma merupakan pemilik perniagaan beli-belah atas talian, Taobao, akan membantu mengemudi pembangunan e-ekonomi Malaysia dengan melaksanakan pembayaran atas talian dan perbankan.

Syarikat itu turut melabur AS$1 bilion (RM4.44 bilion) tahun lalu bagi mengawal e-dagang syarikat Singapura, Lazada iaitu portal beli-belah atas talian terbesar dan meningkatkan pegangan dalam Singapore Post kepada 14.4 peratus daripada 10.2 peratus yang diperoleh pada tahun 2014 serta membeli pegangan 20 peratus dalam perkhidmatan e-pembayaran Thailand, Ascend Wang. – REUTERS

Leave a Reply