Rakyat Iran Kembali Tunaikan Haji Tahun Ini

0
63

RIYADH: Rakyat Iran akan menunaikan ibadat Haji tahun ini, kata kerajaan Arab Saudi hari ini, selepas tidak berbuat demikian tahun lalu berikutan ketegangan kedua-dua seteru di rantau Teluk itu.

“Kementerian Haji dan pertubuhan Iran sudah melengkapkan semua langkah perlu untuk memastikan rakyat negara itu dapat menunaikan Haji pada tahun Hijrah 1438 menurut prosedur yang diikuti semua negara Islam,” kata Agensi Saudi Press.

Buat kali pertama dalam masa hampir tiga dekad, kira-kira 60,000 jemaah Haji Iran tidak menunaikan rukun Islam kelima itu pada 2016 selepas kedua-dua negara tidak mencapai persetujuan mengenai isu keselamatan dan logistik.

Riyadh serta Tehran tidak mempunyai hubungan diplomatik dan ketegangan kedua-dua negara berterusan apabila Arab Saudi berulang kali menuduh Iran menyemarakkan konflik di rantau itu dengan menyokong pergerakan bersenjata Syiah di Syria, Iraq, Yaman dan Bahrain.

Bagaimanapun, Kementerian Haji Arab Saudi, hari ini berkata, negara itu menyambut semua jemaah daripada pelbagai negara dan latar belakang. – AFP

Leave a Reply