PAS MASIH ‘BUTA’ ATAU SUDAH ‘CELIK’ MELIHAT ‘BUNGA’?

0
59

Perit atau tidak, pahit atau tidak, sakit hati atau tidak, malu atau tidak, PAS terpaksa telan. Timbalan Presidennya mendakwa parti ‘cap bunga’ sedia menyokong RUU 355 sebelum ini. Dan tiba-tiba saja ‘cap bunga’ nafi, malah dikatakan pula itu cuma andaian PAS.

Entah di mana hendak sorok muka. Andainya kulit setebal manapun, bagaimana hendak berdepan dengan ahli dan penyokong PAS yang lain. Namun nasi sudah menjadi bubur, ‘cap bunga’ telah memandang rendah maruah parti itu di khalayak masyarakat Malaysia.

Pada pandangan penulis, mungkin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku dalam isu sokongan pembangkang terhadap RUU 355 ini. Suatu yang PAS perlu pelajari dan pahat di kepala tentang siapakah ‘cap bunga’ sebenarnya.

PAS perlu tahu dan imbas kembali di zaman siapakah mereka cukup teruk dipermainkan. Perdana Menteri manakah yang begitu hebat menekan PAS? ‘Diktator’ manakah yang menjejaskan PAS dengan imej paling buruk dalam sejarah.

Apakah PAS fikir dia sudah berubah selepas tidak berkuasa? Selepas ‘bersara’ dan masih lagi di dalam UMNO, dia masih lagi kekal dengan jiwa ‘kuku besinya’. Seorang Perdana Menteri tumbang ‘dikerjakan’. Naik pula Perdana Menteri baru, Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Dia cuba pula jatuhkan Najib, namun gagal. Dia keluar parti dan terus mencemuh Najib seperti modus operandi yang pernah dia lakukan terhadap penggantinya sebelum ini. Dia tetap gagal dan Allah tetap mengekalkan Najib sebagai Perdana Menteri.

Mungkin rasa ego ‘ultra’nya tercabar teruk, dia tubuh parti baru. Dia hentam Najib siang dan malam, berikrar mahu kuburkan Najib dan UMNO. Tindakan itu benar-benar serupa dengan apa yang Anwar Ibrahim lakukan terhadapnya dulu, cuma di episod yang berlainan. PAS ingat, tidak?

Jika dia sanggup lakukan begitu terhadap parti dan jemaah yang mengangkatnya selama 22 tahun, inikan pula PAS yang dia herdik, hina dan perlekeh selama dia berkuasa dulu. Setakat PAS, apalah sangat baginya. Mungkin letaknya di bawah tapak kaki saja.

Tidakkah PAS celik lagi? Selepas khianat pada UMNO, siapa yang dia tolong kempenkan di Kuala Kangsar dan Sungai Besar? Antara PAS dan DAP, siapa yang dia lebih akrab dan banyak kelihatan bersama dalam membuat keputusan berkaitan pembangkang? Ada dia pedulikan PAS?

PAS perlu sedar dari lamunan di Kedah dan Kelantan, dua negeri yang mereka memang perlukan PAS untuk dijadikan ‘balaci tunggangan’. Mereka pernah lihat sekutu DAP mereka ‘menunggang’ PAS sebelum ini, mungkin kini giliran ‘cap bunga’ pula ‘menunggang’ PAS?

Pada hemat penulis, PAS Kedah dan Kelantan amat berpotensi untuk dijadikan ‘keldai tunggangan’ parti ‘cap bunga’ menjelang PRU ke-14 nanti. Mungkin PAS di Kelantan tidak terlalu mengharap kerana mereka kini sebagai kerajaan. Tapi khabarnya di Kedah, PAS bagaikan tidak yakin dapat berdiri sendiri dan mengharapkan kerjasama ‘cap bunga’.

Sedangkan jika diteliti hubungan baiknya di sana, anak ‘diktator’ itu lebih akrab dengan Mahfuz Omar dan ‘syaitan dalam jemaah’ yang memporak perandakan PAS sebelum ini. Sama ada kepimpinan PAS Pusat sedar atau tidak, itulah yang menjadi topik perbualan akar umbi di sana sekarang.

Dikatakan juga akar umbi PAS khususnya di Baling tidak dapat melupakan insiden Memali. Mereka juga tidak lupa pada doa mantan Presiden PAS terhadap ‘diktator’ itu. Mereka juga tidak lupa pada ‘harum manis’ yang banyak memecah-belahkan jemaah di sana.

Dan kini, ketika ‘cap bunga’ sedang bermanis-manis dengan PAS, jelaslah hatinya terpaut pada ‘roket’. Bagai belangkas atau tidak, ‘cap bunga’ sedar bahawa mereka lebih rela bersekutu dengan DAP, PAN dan PKR berbanding dengan saudara sebangsa seagama di dalam Gagasan Rakyat.

Penulis tidak pasti sama ada PAS sudah ‘celik mata’ terhadap ‘cap bunga’ atau tidak, namun apa yang berlaku dalam tempoh sebulan dua ini, itulah yang tersurat dan tersirat. Kami sudah lama ‘dibutakan’ seorang diktator, kami tahulah…

Leave a Reply