PAS Enggan Kongsi Pentas Dengan PPBM

0
127

KOTA BHARU: PAS tidak akan membenarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkongsi pentas dalam ceramah mereka, jika parti itu menjalin kerjasama secara rasmi dengan pakatan pembangkang.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata sekiranya PPBM menyertai pakatan berkenaan yang turut dianggotai Parti Amanah Negara dan DAP, ia sekali gus menutup terus pintu kerjasama dengan mereka.

“Kalau itu pendirian rasmi dia (PPBM), maka putuslah… tidak perlulah ada perbincangan lagi. Kita jalan ‘sendiri-sendiri’ saja.

“Kita juga tidak akan kongsi pentas dengan PPBM lagi sebab itu memang syarat yang kita letak selama ini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan partinya mencapai persetujuan untuk membentuk gabungan secara rasmi dengan pakatan pembangkang.

Katanya, PPBM secara prinsip bersetuju untuk menggunakan hanya satu logo, satu simbol dan manifesto yang sama, selain memutuskan hanya satu calon saja diletak untuk mewakili gabungan yang dibentuk itu.-BH.

Leave a Reply