Dewan Negeri: Ekonomi Melaka Dijangka Berkembang Lima Hingga Enam Peratus Tahun Ini

0
120

MELAKA – Pertumbuhan ekonomi Melaka dijangka mencatat peningkatan positif dan berkembang antara lima hingga enam peratus tahun ini, kata Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob.

Beliau berkata peningkatan itu selari dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang diunjur berkembang kira-kira 4.3 hingga 4.5 peratus tahun ini.

“Sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama sebanyak 45.6 peratus kepada KDNK (Keluaran Dalam Negeri Kasar) Negeri dengan nilai anggaran berjumlah RM14.5 billion.

“Manakala sektor pembuatan berada di kedudukan kedua dengan sumbangan 40.9 peratus dengan nilai anggaran berjumlah RM13 billion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Pertama, Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-13 di Kompleks Seri Negeri di Ayer Keroh di sini Selasa.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Mohd Khalil berkata Melaka kini berada di tangga keempat dalam kalangan negeri di Malaysia daripada segi pertumbuhan KDNK per kapita dengan peratus peningkatan 79.7 peratus dari 2007 hingga 2015.

Katanya KDNK per kapita negeri ini pada 2015 berada pada paras RM39,853.

“Nilai pelaburan diluluskan MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) bagi negeri Melaka pada tahun 2016 berjumlah RM1.35 billion, dan daripada jumlah tersebut RM679.3 juta adalah pelaburan domestik dan RM675.5 juta pelaburan asing,” katanya.

Beliau berharap fokus bagi menarik pelaburan dalam sektor bernilai tambah seperti teknologi hijau, automotif serta elektrik dan elektronik akan memberikan impak yang positif kepada kemampanan ekonomi negeri.

— BERNAMA

Leave a Reply