PAS Tolak PPBM – Hadi Awang

0
100
PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kanan) melepaskan konvoi RUU 355 di perkarangan masjid Rusila. – Foto Baharom Bakar

MARANG: PAS menyatakan pendirian untuk tidak menjalin hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan semua parti yang bekerjasama dengan DAP.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata partinya sudah mengeluarkan garis panduan dan sempadan untuk tidak bekerjasama dengan mana-mana parti yang ada hubungan dengan DAP.

Katanya, kerjasama politik dengan PPBM dan parti pembangkang lain hanya boleh berlaku tanpa DAP.

“Bukan hanya PPBM, malah tiada kerjasama antara PAS dan semua parti pembangkang yang ada hubungan dengan DAP,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan pelepasan konvoi Rang Undang-Undang 355 (RUU 355) di pekarangan Masjid Rusila, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, kedudukan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, akan diputuskan lembaga disiplin parti selepas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat mengkaji beberapa laporan dibuat terhadapnya.

Katanya, PAS tidak akan bertindak ke atas Mahfuz berdasarkan laporan media, sebaliknya meneliti semua aduan dikemukakan ahlinya di peringkat kawasan.

“Pemimpin PAS perlu ikut dasar perjuangan parti. Jika tidak boleh ikut, keluar dan letak jawatan sebagai Ahli Parlimen kerana pengundi memilihnya atas nama parti.

“Jika wakil rakyat PAS tidak boleh ikut dasar perjuangan parti dan menganggap masih bermaruah, letaklah jawatan,” katanya.-BH.

Leave a Reply