Syarat Tapisan Keutuhan SPRM Perlu Disemak Semula – Irmohizam

0
93

KUALA LUMPUR: Syarat tapisan keutuhan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi pelantikan dan kenaikan pangkat penjawat awam perlu diteliti dan disemak semula bagi memperlihatkan tahap integriti perkhidmatan awam.

Anggota Jawatankuasa Parlimen Menangani Rasuah (JKMR) SPRM Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim mencadangkan penambahbaikan proses pengisytiharan harta dilakukan dan diperketatkan dengan maklumat tambahan seperti pendapatan keluarga dan yang berkaitan.

“Kita sedia maklum bahawa telah wujud satu sistem dan prosedur yang baik dalam memastikan setiap pegawai kanan yang terlibat melalui proses Tapisan Keutuhan SPRM.

“Kemungkinan ada kekurangan yang perlu diatasi agar proses tapisan keutuhan dijalankan dengan lebih efektif dan menyeluruh. Proses ini perlu diperketatkan lagi,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Irmohizam yang juga anggota Parlimen Kuala Selangor turut mengesyorkan agar keanggotaan lembaga kenaikan pangkat perkhidmatan awam dikaji dan disusun semula.

Jelasnya, proses kajian dan penyusunan semula itu boleh dilakukan dengan disertai hakim, ahli akademik, anggota Parlimen atau tokoh berwibawa negara bagi memastikan keberkesanannya.

JPA dalam kenyataannya pada Isnin (8 Januari) menjelaskan bahawa urusan pelantikan dan penempatan pegawai-pegawai kanan perkhidmatan awam termasuk ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan tertakluk kepada tapisan keutuhan SPRM.-MS.

Leave a Reply