Penjenayah Serang Polis Parah Ditembak

0
1059

KETUA Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Ahmad Jawila menunjukkan parang yang digunakan suspek ketika menyerang anggota polis di Kampung Ansip, Keningau, semalam. – Foto Francis Andin

KENINGAU: Seorang penjenayah parah terkena tiga das tembakan selepas menyerang anggota polis dengan parang berhampiran Kampung Ansip, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, seorang anggota polis cedera di betis terkena libasan parang suspek warga tempatan berusia 34 tahun terbabit.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Ahmad Jawil, berkata sebelum kejadian, 10 anggota polis menjalankan rondaan menerusi Ops Lejang berhampiran kawasan berkenaan dengan menaiki dua kenderaan.

“Mereka terserempak dengan sebuah Toyota Prado dalam keadaan mencurigakan, lalu mengekori kenderaan berkenaan sebelum ia dipandu secara melulu hingga merempuh kereta Proton Preve dinaiki dua anggota polis.

“Susulan rempuhan itu, kenderaan suspek terbabas ke dalam longkang dan ketika anggota polis cuba menahannya, suspek bertindak agresif dengan menyerang menggunakan parang sebelum seorang anggota polis terkena libasan.

“Seorang lagi anggota yang melihat kejadian melepaskan tiga das tembakan untuk menyelamatkan rakannya,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau, di sini, hari ini.

Ahmad Jawil berkata, anggota polis yang cedera bersama suspek dihantar ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut.

“Anggota polis itu luka lapan sentimeter di betis kiri, manakala suspek yang cedera di bahu kanan, punggung serta lengan kiri dilaporkan parah dan akan menjalani pembedahan untuk mengeluarkan peluru.

“Siasatan awal mendapati Toyota Prado dipandu suspek adalah kenderaan curi. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh,” katanya.-BH.

Leave a Reply