Himpunan Mega 355: PAS Sasar 300,000 Peserta

0
12

SHAH ALAM: PAS akan mengadakan Himpunan 355 untuk menggalakkan sokongan terhadap pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355.

Bertemakan warna ungu, perhimpunan besar-besaran ini akan diadakan pada 18 Februari di Dataran Merdeka, kata pengerusinya yang juga Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim berkata, acara itu yang dijadual berlangsung dari pukul 3 petang hingga 11.30 malam, dijangka menarik 300,000 peserta yang terdiri daripada ahli-ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti politik dan juga penyokong Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang membawa usul tersebut.

“Tujuan perhimpunan ini diadakan adalah untuk meningkatkan kesedaran ke arah mendapatkan sokongan bagi membentangkan RUU ini,” kata Tuan Ibrahim dalam satu sidang akhbar di Menara MBSA Shah Alam, Sabtu.

“Objektif kami adalah untuk memberi penjelasan mengenai keperluan pindaan Akta dan mengapa ia mesti disokong, terutamanya oleh ahli-ahli Parlimen,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang menentang RUU itu tidak memahaminya secara penuh dan perhimpunan itu adalah satu cara untuk meredakan ketegangan dalam suasana yang harmoni.

Mengenai sama ada parti-parti politik lain, termasuk Umno, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah), telah dijemput, Tuan Ibrahim berkata jemputan telah dihantar kepada semua parti politik.

Tambahnya, PAS telah memohon permit untuk mengadakan majlis itu dan sedang menunggu kelulusan rasmi.-MS.

Leave a Reply