5,000 Rumah Mampu Milik Dalam Pembangunan Fasa Pertama Bandar Malaysia – Najib

0
63
KUALA LUMPUR, 16 Jun -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) melihat replika model Bandar Malaysia sebelum Majlis Tandatangan Perjanjian Pemegang Saham dan Memorandum Persefahaman oleh Bandar Malaysia Sdn Bhd hari ini. Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed (tiga,kiri), Naib Pengerusi Eksekutif Iskandar Waterfront Holdings Tan Sri Lim Kang Hoo (tiga,kanan), Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (dua kanan) dan Duta Besar China ke Malaysia Huang Huikang (kanan). --fotoBERNAMA (2016) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) — Kira-kira 5,000 unit rumah mampu milik akan dibina dalam pembangunan fasa pertama Bandar Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Beliau berkata pembinaan rumah berkenaan akan dipercepatkan sebagai satu keutamaan.

“MOF Inc dan IWH-CREC komited untuk membina 5,000 unit rumah mampu milik dalam fasa pertama pembangunan ini,” katanya semasa berucap pada majlis menandatangani perjanjian pemegang saham IWH CREC Sdn Bhd di sini hari ini.

IWH CREC Sdn Bhd dan Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) masing-masing memegang 60:40 ekuiti dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd – syarikat usahasama yang akan menerajui pembangunan itu.

Najib berkata pembinaan rumah mampu milik itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memenuhi keperluan semua peringkat penduduk, terutamanya kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana.

Perdana Menteri turut mengambil perhatian tentang banyak peluang kerja yang bakal diwujudkan hasil daripada pelaburan domestik global di Bandar Malaysia.

“Sebaik sahaja ia dibangunkan sepenuhnya, pemaju-pemaju menganggarkan Bandar Malaysia akan menjadi destinasi bagi lebih 200,000 pekerja berpengetahuan dan berpendapatan tinggi untuk tinggal, kerja dan bermain,” katanya.

Pada majlis itu, Najib turut menyaksikan pemeteraian tiga perjanjian penting yang akan memacu pembangunan Bandar Malaysia.

Ia membabitkan perjanjian pemegang saham bagi Bandar Malaysia Sdn Bhd antara TRX City Sdn Bhd, IWH CREC dan Kementerian Kewangan; memorandum persefahaman (MoU) bagi Dana Bandar Malaysia oleh konsortium bank-bank; dan MoU bagi Terminal Pengangkutan Bersepadu Bandar Malaysia.

Bandar Malaysia terletak di tapak lapangan terbang lama di Sungai Besi, hanya 7km dari pusat bandaraya Kuala Lumpur.

Terdapat begitu banyak peluang bagi pelaburan dan perniagaan di Bandar Malaysia, bukan sahaja dalam pelancongan, hotel, pameran, konvensyen dan taman tema, tetapi juga dalam sektor lain seperti komersial dan perkhidmatan kewangan.

— BERNAMA

Leave a Reply