Carian


Cemburu Punca Kemaluan Lelaki Warga Indonesia Dipotong

Oleh: SGBSelangor | 8 March 2016 BERITA| Add Comment »



>> POLIS sedang mengesan Miss Patma Yimadi, 19 bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pekerja ladang dipotong kemaluannya di Kampung Gua Air, Pos Pulat, Gua Musang, Kelantan, baru-baru ini.

KOTA BHARU 7 Mac – Cemburu dipercayai menjadi motif utama lelaki warga Indonesia hilang alat sulit akibat dipotong oleh seorang gadis berusia 19 tahun di Pos Pulat, Gua Musang, dekat sini kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Ahmad Taufek Abdullah berkata, pihaknya percaya mangsa yang bekerja di sebuah ladang kelapa sawit dan suspek warga Thailand itu mempunyai hubungan intim.

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut namun kita tidak menolak kemungkinan kejadian ini berpunca daripada perasaan cemburu kerana suspek mengetahui mangsa mempunyai hubungan sulit de­ngan wanita lain.

“Mangsa yang berusia 36 tahun itu kini masih menerima rawatan lanjut di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) dan dilaporkan stabil,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan seorang gadis warga Thailand bertindak di luar batasan apabila memotong kemaluan seorang pekerja warga Indonesia di Kampung Gua Air, Pos Bulat di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam, kemaluan lelaki berusia 36 tahun hanya dikenali sebagai Aznil itu putus dan dia mengalami pendarahan teruk lebih sejam sebelum menerima rawatan di Hospital Gua Musang.

Ahmad Taufek berkata, pihak­nya kini sedang memburu suspek yang dipercayai melarikan diri selepas kejadian tersebut.

“Setakat ini kita percaya suspek masih berada di Gua Musang selain mengarahkan balai-balai yang terdapat di sekitar daerah tersebut turut melakukan pemantauan.

“Orang ramai diminta turut menyalurkan maklumat berhubung kes ini yang disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Saiful Bahri Abdullah berkata, suspek dan mangsa saling mengenali kerana bekerja di sebuah ladang kelapa sawit yang sama. “Setakat ini kita masih mengesan senjata yang digunakan oleh gadis terbabit,” katanya. -utusan.

Leave a Reply