Apakah Punca Belia Kurang Minat Bekerja Dalam Sektor 3-D Di Dalam Negara?

    0
    521
    Foreign construction workers line up outside a building site for their transport home in a Kuala Lumpur, Malaysia, Monday, May 11, 2009. Malaysia employs in excess of 250,000 foreign workers in its construction industry. (AP Photo/Mark Baker)

    BARU-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid mengumumkan bahawa seramai 1.5 juta pekerja dari Bangladesh akan dibawa masuk ke Malaysia dalam tempoh tiga tahun untuk bekerja dalam sektor perladangan, pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan.

    Pengumuman tersebut telah menimbulkan pelbagai polemik di kalangan rakyat negara ini. Ada pihak yang menyokong dan ada juga pihak yang menentang bermati-matian cadangan ini. Tidak ketinggalan juga terdapat pihak-pihak tertentu yang mengambil kesempatan untuk menghina pemimpin Negara dan lain-lain.

    Kemuncak kepada isu ini ialah apabila Ahmad Zahid meminta dan mencabar belia tempatan supaya melakukan kerja-kerja di sektor 3-D.

    Persoalan yang timbul kini ialah, benarkah belia Malaysia tidak berminat dengan bidang 3-D ini?, jika benar, apakah alasan-alasan mereka?

    Untuk mengatakan bahawa belia Malaysia tidak berminat dengan sektor 3-D ini adalah kurang tepat. Malah menurut sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Rapat Malaysia (RAPAT), terdapat kira-kira 600,000 rakyat Malaysia bekerja di Singapura dalam sektor 3D. Sebahagian besar daripada jumlah tersebut ialah mereka-mereka yang terdiri daripada golongan belia.

    Jika dilihat kepada fakta tersebut, jelas, kenyataan liar bahawa belia Malaysia malas dan tidak berminat dengan pekerjaan disektor ini tersasar sama sekali.

    Penulis sempat membuat sedikit analisa serta beberapa soal selidik bagi mengenalpasti apakah punca masalah ini. Antara punca yang dikenalpasti menjadi faktor mengapa belia tidak berminat dengan sektor 3-D di dalam negara ialah berkenaan tawaran gaji yang rendah.

    Penulis mempunyai beberapa orang rakan yang sanggup meninggalkan sementara ahli keluarga di sini demi mencari rezeki di Australia. Mereka terlibat dengan pelbagai pekerjaan yang bersifat 3-D di sana serta hidup secara nomad dengan berpindah randah dari satu tempat kesatu tempat yang lain di Negara Kanggaru tersebut.

    Menurut mereka, jika mereka boleh melakukan pekerjaan itu di luar negara, mereka juga boleh melakukannya di sini, namun masalahnya ialah, mengapa mereka mahu bekerja dengan gaji RM900 disini sekiranya mereka dibayar AUD$1,000 sebulan (lebih RM3,000) di Australia untuk melakukan kerja yang lebih kurang sama?”.

    Ini jelas membuktikan bahawa faktor kemampuan mendapat pendapatan berganda hasil perbezaan nilai tukaran matawang di Negara yang lebih maju dan membangun menjadi antara faktor mengapa mereka sanggup terlibat dengan sektor 3-D di Negara lain. Ini juga sama seperti alasan mengapa warga asing sanggup meninggalkan Negara mereka serta mengorbankan segala-galanya demi mencari rezeki di sini.

    Punca kedua yang dikenalpasti ialah faktor ‘malu dan menjaga imej/standard’. Menurut mereka, mereka rela melakukan kerja-kerja yang terlibat dengan kotor, susah dan merbahaya di sana kerana tiada siapa pun mengenali mereka di Negara orang.

    Jika melakukan di Negara ini, pandangan masyarakat atau ahli keluarga juga pasti akan memandang rendah kepada mereka seperti mana stigma sebahagian besar masyarakat yang memandang rendah kepada pekerja asing di Negara ini. Pekerja-pekerja asing ini di sini biasanya dipandang kotor, ‘low class’ dan sebagainya.

    Oleh yang demikian, pihak-pihak berkenaan perlu mencari formula bagaimanakah mengubah keadaan ini supaya warga belia di Negara ini berminat untuk bekerja disektor 3-D ini. Jika tiada tindakan ‘bijak’ diambil, maka suatu hari nanti tidak mustahil belia-belia Malaysia akan menjadi buruh-buruh asing di Negara-negara Maju, Manakala belia-belia negara mundur akan terus meningkatkan populasi mereka di Negara ini.

    Yang akan untung ialah pihak-pihak majikan, yang rugi nanti ialah agama, bangsa dan Negara.

    *BGP : Nak mintak majikan bagi gaji macam kat luar negara, memang hampir mustahil la… Tapi nak ubah stigma masyarakat terhadap pekerjaan sektor ini lagi 10 kali mustahil….

    Leave a Reply