Bola Sepak : Jangan Tawar Kontrak Di Luar Kemampuan – Khairy

0
129

>> MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. – Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Semua pasukan Liga Malaysia (Liga M) disaran supaya tidak menawarkan kontrak di luar kemampuan mereka bagi mendapatkan khidmat pemain supaya masalah tunggakan gaji tidak akan berlaku lagi.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata setiap pasukan perlu membuat unjuran kewangan yang tepat dan tidak terikut-ikut dengan ‘trend’ mendapatkan pemain pada harga yang tinggi sedangkan mereka tidak mampu untuk membayar gaji pemain terbabit.

“Saya melihat pasukan memiliki kecenderungan untuk menawarkan apa sahaja kepada pemain yang ingin diikat dalam usaha memastikan pemain terbabit menyarung jersi pasukan mereka.

“Jadi, pengurusan kelab dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu mengawal perkara ini dengan lebih ketat supaya masalah yang berlaku kali ini tidak lagi berulang pada masa akan datang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran aplikasi ‘Fitness In My Pocket’ di sini, sebentar tadi.

‘Fitness In My Pocket’ ialah aplikasi senaman yang pertama seumpamanya di negara ini yang menyediakan pelan senaman yang menyediakan kategori untuk mencapai objektif tersendiri iaitu untuk meningkatkan kekuatan otot, menurunkan berat badan atau mengayuh basikal dengan lebih pantas dengan bantuan daripada pelatih kesihatan profesional.- BH.

Leave a Reply