Malaysia catat kekalahan kedua

0
30

KUALA LUMPUR – Skuad hoki negara terus mempamer aksi hambar apabila gagal mencatat kemenangan dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan B Cabaran Juara-Juara 1 di Johannesburg, Afrika Selatan yang berkesudahan Malaysia tewas 2-5 kepada Argentina, semalam.

Ia adalah kekalahan kedua skuad bimbingan Tai Beng Hai dalam tiga perlawanan yang telah berlangsung sekali gus berada pada tangga tercorot kumpulan dengan hanya mampu mengutip satu mata.

Pada perlawanan semalam, skuad kebangsaan terlebih dahulu mendahului pada separuh masa pertama melalui pukulan kencang pemain Azlan Misron pada minit ke-20, menewaskan pengaja gol Argentina, Juan Manuel Vivaldi.

Namun pada separuh masa kedua, Argentina lebih banyak melakukan serangan berbahaya sehingga membolehkan mereka mendapatkan lima gol iaitu pada minit ke-43, ke-51, ke-52 dan ke-70.

Manakala satu lagi gol negara hadir melalui pukulan sudut penalti oleh Muhammad Amin Rahim minit ke-64.

Pada perlawanan pertama Sabtu lalu menentang Kanada, skuad kebangsaan tewas 1-3 dan ketika saingan kedua peringkat kumpulan, anak buah Beng Hai sekadar mampu terikat 2-2 kepada Jepun pada Ahad lepas.

Argentina kini berada pada tangga teratas Kumpulan B dengan tujuh mata, diikuti Jepun dengan lima mata dan Kanada di tangga ketiga dengan tiga mata di atas skuad kebangsaan.

Gagal mendapatkan kemenangan bererti laluan sukar menanti skuad Beng Hai pada saingan suku akhir esok yang bakal menentang juara Kumpulan A antara Belanda atau India.

Sumber-Utusan

Leave a Reply